Tajaan LFC oleh MAS, jangan sampai kerajaan terbeban

Tajaan LFC oleh MAS, jangan sampai kerajaan terbeban

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ekoran pemeteraian perjanjian Kelab Bola Sepak Liverpool (LFC) dengan Malaysia Airlines (MAS), Pemuda Amanah Nasional bimbang kerajaan terpaksa menyuntik lebih banyak dana jika syarikat penerbangan nasional itu mengalami kerugian.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, perkara yang paling penting adalah MAS perlu diuruskan secara baik dan berhemah agar kerugian yang ditanggung setiap tahun tidak lagi berulang.

“Jika MAS gagal menjana pendapatan yang baik, dibimbangi kerajaan terpaksa menyuntik lebih banyak dana bagi membayar tajaan berjuta ringgit untuk tempoh tiga tahun perjanjian penajaan ini.

“Akhirnya, rakyat yang akan menanggung hutang MAS akibat salah urus kewangan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, penajaan tersebut harus mampu melonjakkan lagi nama MAS setelah kehilangan MH370 yang masih menjadi misteri.

“MAS pernah menaja sebuah kelab bola sepak Inggeris pada 2011 iaitu Queens Park Rangers (QPR), tetapi mencatat kerugian sebanyak RM 2.52 bilion bagi tahun tersebut.

“Maka, menjadi persoalan sejauh manakah penajaan ini mampu memulihkan semula kewangan MAS yang merupakan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai masalah kewangan kronik sehinggakan kerajaan terpaksa menyuntik berbilion ringgit untuk membantu (bail out) syarikat penerbangan tersebut?

“Pada 2014, kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad telah menyuntik RM6 bilion untuk membantu pelan pemulihan MAS, tetapi hasilnya masih belum menunjukkan kesan positif. Ironinya, 6,000 kakitangan MAS diberhentikan perkhidmatan mereka,” jelasnya yang juga seorang peguam.

Sehubungan itu, Faiz menyifatkan ketika MAS mampu menaja sebuah kelab bola sepak asing, sudah pasti syarikat penerbangan itu turut mampu mengekalkan perkhidmatan kakitangannya jika dana yang banyak diperolehnya diuruskan dengan baik dan kebajikan pekerja diutamakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MAS juga wajar menaja program pembangunan bola sepak tempatan agar mutu sukan tersebut dipertingkatkan memandangkan berupaya menaja sebuah kelab bola sepak asing.

“Tanggungjawab sosial korporat ini seharusnya dimainkan oleh MAS kerana wang yang dibelanjakan oleh MAS adalah wang rakyat,” tegasnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Peter Bellew sebelum ini dilaporkan berkata LFC akan mengukuhkan jenama MAS itu di UK memandangkan kelab itu mempunyai jumlah pengikut yang besar, termasuk 100 juta pengikut di Asia Tenggara dan 40 juta di China.

MAS memeterai perjanjian dengan kelab Queens Park Rangers bagi tajaan bersama kemeja dua tahun bernilai jutaan dollar pada 2011.

TAGS