Tak sama kes banglo Guan Eng dengan rumah agam Khir Toyo, sanggah Kit Siang

Tak sama kes banglo Guan Eng dengan rumah agam Khir Toyo, sanggah Kit Siang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan ‘tentera siber’ Umno-BN menyerang Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu pembelian rumah banglo miliknya disifatkan sebagai cubaan menutup skandal mega membabitkan pemimpin tertinggi mereka daripada terus menjadi perhatian umum, kata Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menurut beliau, usaha menyamakan tuduhan terhadap Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dengan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo juga meleset.

Jelas Kit Siang, dalam kes membabitkan Dr Mohd Khir, pemilik asal rumah pada awalnya tidak bersetuju menjual rumah tersebut pada harga yang ditawarkan.

Harga asal rumah yang dibeli Khir adalah RM5 juta dan belanja pengubahsuaian RM1.5 juta.

Pemilik asal rumah berkenaan juga, ujar Kit Siang tidak bersetuju dengan harga RM3.5 juta yang ditawarkan Khir untuk memiliki rumah agam itu beserta dua lot tanah sebaliknya menuntut harga RM6.5 juta.

“Pengarah Ditamas Sdn. Bhd. Shamsuddin Hayroni, memberitahu Mahkamah Tinggi pada hari keempat perbicaraan kes rasuah Khir pada Jun 2011 bahawa beliau telah menjual dua lot tanah dan sebuah banglo dengan harga RM3.5 juta kepada Khir kerana takut projek perumahannya di Selangor terjejas,” jelas Kit Siang dalam satu kenyataan media.

Kes membabitkan Khir dan Shamsuddin, ujarnya berbeza dengan kes membabitkan Guan Eng yang membeli rumah banglo dengan harga yang dipersetujui pemilik asal rumah, malah pemilik terbabit tidak mempunyai sebarang kepentingan projek kerajaan di Pulau Pinang.

“Dalam kes Guan Eng, penjual rumah berkenaan, Phang Li Koon telah membuat akuan bersumpah menafikan bahawa beliau terlibat dalam mana-mana syarikat yang berurusan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Jadi, tidak ada asas langsung untuk membuat perbandingan seumpama itu,” tegasnya.

Perbandingan isu banglo Guan Eng dan rumah agam Dr Khir Toyo

TAGS