Takiyuddin tarik diri bertanding jawatan naib presiden, AJK Pas Pusat

Takiyuddin tarik diri bertanding jawatan naib presiden, AJK Pas Pusat

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden parti bagi sesi 2017-2019.

Takiyuddin berkata, keputusan itu dibuat kerana yakin dengan keserasian kepimpinan sedia ada khususnya bagi menghadapi Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Memandangkan saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Pas Pusat sedia ada serta melihat keserasian dalam kepemimpinan kini yang melibatkan presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden, maka saya membuat keputusan menarik diri dari bertanding untuk jawatan naib presiden Pas.

“Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa Pas menuju masa depan yang lebih cemerlang, khusus untuk menghadapi PRU14 nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga penyandang naib presiden Pas iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abd Samad turut dicalonkan semula bagi jawatan itu.

Selain mereka, turut dicalonkan ialah Ketua Penerangan Pas ketika ini, Nasruddin Hassan.

Bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding.

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu turut menarik diri daripada bertanding jawatan ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat bagi memberi peluang kepada calon-calon lain.

Bagaimanapun beliau bersedia menerima sebarang jawatan lantikan lain.

“Saya juga mengisytiharkan menarik diri daripada bertanding jawatan ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat bagi memberi peluang kepada calon-calon lain menawarkan diri untuk memberi khidmat terbaik keapda parti.

“Saya bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang difikirkan sesuai oleh presiden parti dan Insya-Allah akan memberikan sumbangan terbaoik sekiranya diberikan amanah tersebut nanti,” katanya.

TAGS