Taktik Umno momokkan DAP bukan suatu fenomena baharu, kata MPT Bersatu

Taktik Umno momokkan DAP bukan suatu fenomena baharu, kata MPT Bersatu

Apakah Umno begitu terancam dan tergugat kedudukan mereka di hati masyarakat Melayu sehingga sanggup memperbodohkan masyarakat Melayu kononnya parti-parti Melayu di dalam Pakatan Harapan bagai lembu dicucuk hidungnya oleh DAP, soal Tariq Ismail.

AHli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengulas kenyataan Setiausaha Media kepada perdana menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad semalam, yang mendakwa kepimpinan Pakatan Harapan berbangsa Melayu termasuk pucuk pimpinan Bersatu, PKR dan Amanah sebagai terlalu lemah sehingga boleh dipermainkan oleh DAP.

“Sedarkah mereka bahawa pujian palsu mereka yang melangit bahawa masyarakat Melayu terlalu cerdik dan tidak akan termakan cakap DAP, adalah sebenarnya suatu penghinaan kepada peradaban dan intelektualisma Melayu dan Islam?

“Mereka mengandaikan masyarakat Melayu akan terus menerus menyokong kebatilan pemimpin negara yang sekarang hanya kerana terlalu cerdik untuk diperdayakan oleh DAP.

“Saya ingin memetik seorang tokoh agama baru-baru ini yang mengingatkan masyarakat Melayu akan tanggungjawab mereka menilai antara pemimpin yang terbukti batil dan pemimpin yang berkemungkinan bukan Islam.

“Seorang adalah terbukti, sementara yang seorang lagi hanya kemungkinan dan tertakluk kepada kuasa Allah.

“Sememangnya taktik Umno memomokkan DAP bukan suatu fenomena baru,” ujarya dalam kenyataan hari ini.

{loadposition myposition}  Ketua Bahagian Bersatu Sri Gading itu turut berkata, Umno berulang kalicuba mempermainkan emosi masyarakat Melayu dan memainkan sentimen perkauman kononnya tampuk kepimpinan negara bakal diambil alih oleh DAP sekaligus mengganggu gugat kedudukan istimewa orang Melayu.

“Saya di sini ingin menegaskan sekali lagi, hukum matematik tidak membenarkan DAP mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

“Saya juga ingin menegaskan, perumpamaan yang dibuat Tengku bahawa pemimpin-pemimpin Melayu yang selain Umno amnya terlalu lemah dan tolol sebenarnya mencerminkan keadaan di dalam Umno itu sendiri.

“Ini terbukti dengan sendirinya setiap kali menteri-menteri kabinet Umno membuka mulut.

“Jadi perlukah saya meroyan seperti pemimpin-pemimpin Umno?,” soalnya.

Tengku dalam kenyataannya dipetik berkata, jelas DAP ialah parti dominan dalam Pakatan Harapan dengan Lim Kit Siang sebagai pemimpin de facto yang bijak mengatur percaturan dan mencorakkan penampilan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Tengku Sariffuddin berkata ia menggunakan strategi Ali Baba dengan meletakkan pemimpin Melayu di barisan hadapan tetapi power broker sebenarnya berada di belakang tabir.

CATEGORIES
TAGS