Tambah kuota 50,000 jemaah, Jamil Khir sembunyi kelemahan kerajaan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan disaran berunding dengan Kerajaan Saudi dalam usaha meningkatkan kuota haji bagi Malaysia sehingga 50,000 jemaah setahun.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, berkata, ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sangat rapat dengan Kerajaan Saudi.

“Kita juga mahu mereka memendekkan tempoh menunggu giliran untuk rakyat ke tanah suci itu.

“Saya sedia maklum jawapan Datuk Seri Jamil Khir semalam seolah-olah menuding jari kepada komen yang saya buat sebagai sebab kenapa jemaah haji terpaksa menunggu sehingga 70 tahun untuk menunaikan haji.

“Jawapan diterima pada 9 Mac lalu mengenai kaedah digunakan menentukan giliran jemaah haji berdasarkan ‘mendaftar dahulu akan didahulukan.

“Sebab itu jawapan beliau semalam tidak tepat dan cuba menyembunyikan kelemahan kerajaan dengan memberi gambaran seolah-olah timbal balik kedudukan kewangan Tabung Haji punca terpaksa menunggu lama,” katanya kepada pemberita dalam sidang media.

Semalam di Dewan Rakyat ketikas menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pendeposit tabung haji yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun kerana percaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap TH baru-baru ini.

Rafizi berkata setakat Februari 2016, terdapat 2.023 juta pemegang akaun Tabung Haji mendaftar sedangkan kuota haji hanya 0.1 peratus dari jumlah penduduk Malaysia.

“Kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia adalah 30,000 setahun. Namun, sejak beberapa tahun lalu, kuota haji Malaysia sekitar 22,000 setahun.

“Pada angka ini dan jumlah bakal haji seramai 2.023 juta, purata seorang bakal haji perlu menunggu di antara 40-70 tahun menunaikan haji,” katanya.

Katanya, beliau mahu membentangkan analisis mengenai pengurusan giliran haji dan kuota haji dalam masa terdekat.

Beliau berkata ia bagi menunjukkan terdapat kepincangan memangsakan bakal haji miskin dan tua.

TAGS