Tambang ERL naik pada 1 Januari 2016

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 
 
 
Tambang baharu Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke KLIA2 ialah RM55, berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan, kenaikan pertama sejak pelancaran ERL pada 2002.
 
Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata ini ialah kadar diskaun berikutan ERL dibenarkan untuk menyemak kadar tambang kepada RM64 berdasarkan terma-terma perjanjian konsesi.
 
“Kami menstruktur tambang baharu dengan mengambil kira pengguna kami. Kami mengakui peningkatan kos sara hidup ialah satu cabaran dan kami sedang mencari jalan menawarkan pilihan tambang kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata semakan itu diluluskan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selaras dengan Seksyen 120 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
 
Penumpang yang membeli tiket melalui dalam talian, aplikasi mudah alih dan daripada kiosk ERL akan menikmati diskaun 10 peratus, manakala mereka yang menggunakan kad Touch ‘n Go akan menikmati penjimatan 10 peratus semasa tempoh promosi.
 
Untuk pengguna TravelCard, mereka akan menikmati diskaun 17 peratus – 83 peratus dengan purata diskaun 45 peratus sementara warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) akan terus menikmati diskaun 30 peratus tambang sehala bagi KLIA Transit, kata beliau.
 
Beliau berkata mereka yang membeli tiket pergi-balik antara KL Sentral dan KLIA/KLIA 2 akan menikmati penjimatan RM10.
 
Noormah berkata semakan tambang itu akan memastikan ERL terus beroperasi dan mengekalkan perkhidmatannya pada tahap optimum bagi menampung jumlah penumpang yang meningkat.
 
“Menjelang Mei tahun depan, enam tren baharu akan diserahkan dan ini akan meningkatkan kapasiti ERL sebanyak 50 peratus,” katanya.
 
Orang ramai boleh menyemak struktur tambang baharu dengan melayari www.KLIAekpres.com dan papan notis di stesen-stesen ERL.

TAGS