Tampakkan Islam yang hidup, bukan slogan

Tampakkan Islam yang hidup, bukan slogan

Islam melalui Pengamalan

“Wujudkan Islam melalui pengamalan,” pesan Syeikh Abdullah Ala Maududi, mujadid dan pengasas Jamaah Islami di benua India. Beliau sering dibandingkan dengan al-Imam Hassan al-Banna, seorang lagi mujadid yang telah mengasaskan Ikhwan Muslimin di Mesir pada kurun yang lepas.

Kedua-dua pendakwah ini dilihat memiliki kekuatan yang sama. Oleh kerana itulah Ikhwan Muslimin menganggap Abdullah Ala Maududi sama seperti ikhwan yang lainnya.

Dalam buku beliau ‘Syahadatul Haq’ yang bermaksud Penyaksian Kebenaran, dijelaskan apa sebenarnya yang dituntut daripada umat Islam masa kini.

Antaranya ialah umat Islam perlu menampakkan kebenaran Islam itu melalui pengamalannya. Bukan sahaja mengakui agamanya adalah Islam, bahkan perlulah lebih daripada itu.

Namun, masalah yang wujud dalam umat Islam dewasa ini, amalan mereka tidak seperti yang diucapkan oleh mulut mereka.

Perlu kita ketahui, iman adalah at-Tashdiqu bil qalbi (membenarkan dalam hati), qaulun billisan (diucapkan dengan lisan), dan amalun bil arkan wal jawarih (dibuktikan dengan amalan anggota tubuh).

Bagaimanapun, umat Islam kini seolah-olah berada dalam satu keadaan. Mereka mendakwa Muslim, tetapi jika dilihat pada amalannya, tidak terlihat pun mereka sebagai orang Islam, sama ada melalui amal peribadi, amal kekeluargaan atau institusinya, mahupun sistem kehidupannya.

Secara rasional dan logiknya, negara mana yang boleh dianggap sebagai negara Islam?

Menerobos kehidupan ini, ayuh bersama kita lihat perlembagaan dan sistem yang ada dalam negara tersebut, apakah yang diamalkan? Sebagai contoh sistem kehakimannya, adakah syariah atau sekular? Di mana letak Islam kita sebenarnya? Adakah cukup dengan dakwaan diri kita seamata-mata?

Dalam bidang ekonomi pula, apakah yang diamalkan negara tersebut? Adakah ekonomi mereka berlandaskan ekonomi Islam atau kapitalis atau sosialis?

Sangat jelas, masalah kini ialah ramai yang mendakwa diri mereka beragama Islam, tetapi Islam itu tidak wujud atau tidak nampak dalam realiti kehidupan mereka.

Justeru, amat mustahak dan selayaknya umat Islam berusaha merubah keadaan ini kepada keadaan yang fitrah, iaitu selari dengan pengamalan yang dilaksanakan dan bukan hanya sekadar mengakui sebagai orang yang beragama Islam.

Dalam mengangkat maksud perpindahan pada tahun baharu ini, umat Islam mendapat sesuatu daripada sudut amalinya iaitu komitmen.

Tahun Baharu 2018

Apabila masuk sahaja tahun baharu, realitinya kita hidup pada zaman baharu. Tujuan atau matlamatnya adalah supaya berlaku perpindahan dari sudut kualiti kita kepada sesuatu yang baharu juga. Dengan hal yang demikian, Islam itu sepatutnya dapat dipamerkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, sebagai seorang Islam tentunya, kita tidak boleh leka untuk menyebarkan risalah dakwah ini menerusi pengamalan agar menjadi contoh yang baik kepada orang lain, atau dengan kata lainnya, ‘Dakwah bil Qudwah.’

Sebenarnya ramai yang tidak nampak Islam sebagai satu sistem, bahkan Islam pada peribadi umatnya juga seolah-olah sukar dikesan. Sebab itu banyak antara mereka yang sudah kembali kepada Islam berkata, “Kalaulah kami tidak masuk Islam, jika kami tengok dulu orang Islam yang ada ini, tentu kami tidak akan masuk Islam.”

Apalagi jika mereka melihat situasi kehidupan orang Islam di Mesir. Itu tentunya tidak akan membuat mereka tertarik untuk masuk agama Islam ini. Tetapi mereka telah kembali kepada Islam sebelum mereka pergi ke Mesir. Kenapa boleh sampai terjadinya begitu?

Mereka menghayati agama ini dalam bentuk ilmu, fikrah, gagasan pemikiran, mencari pengertian Islam dan telah menghayati ilmu tentang Islam melalui pembacaan, sebab itulah mereka mahu Islam. Melalui itu juga, mereka yakin dengan kebenaran dan keindahan Islam. Itulah faktor rasional yang mereka dapatkan sehingga mereka kembali kepada Islam.

Jika dilihat realiti ummah, ia jauh sekali daripada yang diharapkan. Sebagai contoh, Islam menekankan sikap jujur. Tetapi apabila seseorang itu berurusan dengan orang Islam, dia ditipu ketika membeli. Daripada pengalaman tersebut, dia tidak nampak penghayatan orang Islam itu terhadap agamanya sendiri.

Oleh hal yang demikian, sewajarnyalah juga dalam mengangkat maksud perpindahan pada tahun baharu ini, umat Islam mendapat sesuatu daripada sudut amalinya iaitu komitmen.

Islam itu dibuktikan dengan mengimani, kemudian mengamalkan dan seterusnya menyampaikannya kepada umat Islam lain.

Sesungguhnya, itulah tugas utama umat Islam dan sebaik-baik cara menyampaikannya adalah melalui pengamalan. Bukankah dengan amalan Islam seseorang itu orang lain dapat menilai apakah Islam yang sebenarnya?

Sebagai seorang Islam, kita dikehendaki memajukan amalan Islam kita. Sebagai contoh, Islam itu adalah cara hidup. Maka dengan itu, ia sepatutnya dilihat bergerak dan menyelesaikan masalah, bukan mendakwa diri sebagai seorang Islam semata-mata tetapi kosong pengamalannya.

Masyarakat Malaysia yang mana orang Islam adalah majoriti dapat disimpulkan peluang itu memang ada.

Peluang

Apa yang cuba dilakukan masa ini ialah umat Islam perlu merebut peluang yang ada. Dan kita juga wajib menyedari bahawa sebenarnya semua peluang ini Allah Subhanahu wa Taala yang berikan kepada kita, hamba-Nya.

Dewasa ini, kita selalu berdepan dengan pelbagai peluang untuk mewujudkan perubahan di tanah air kita ini, maka kita perlulah menangani peluang-peluang ini dengan sebaik-baiknya.

Sebagaimana dalam perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, baginda mewujudkan suasana, suasana itu pula menyediakan peluang sehingga membolehkan baginda melakukan perubahan, dan Islam tersebar dengan penuh gilang-gemilang, seterusnya sampai kepada kita.

Namun, sekarang ini umat Islam berada dalam satu situasi berbeza. Zaman Nabi dulu, Nabi berdepan dengan masyarakat jahiliah. Berlainan sekali dengan masyarakat kita sekarang ini yang mana orang Islam adalah majoriti. Justeru, dapat disimpulkan, peluang itu memang ada.

Bagaimanakah kita nak menjana peluang yang ada ini dengan jayanya? Tepuk dada, tanyalah iman kita. Jangan segala yang dihamparkan itu dilepaskan dengan percuma saja.

Masyarakat kita hari ini inginkan Islam kerana umat ini masih baik secara umumnya, tetapi yang jahat-jahat itulah yang menghalangnya.

Secara fitrahnya, pemimpin di negara Islam mestilah naik melalui ‘al-imamah bil ikhtiyaril ummah,’ iaitu apa yang dikatakan kepemimpinan ummah. Demikianlah yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab. Mereka dipilih oleh ummah, barulah mereka naik sebagai pemerintah umat Islam.

CATEGORIES