Tangguh aktiviti melombong tapi stok bauksit tak surut-surut

Tangguh aktiviti melombong tapi stok bauksit tak surut-surut

Tindakan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melanjutkan tempoh moratorium (penangguhan) aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang disifatkan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sebagai lakonan 'kenyit mata' menteri berkenaan dengan kerajaan negeri memandangkan stokpile bauksit tidak berkurangan sejak arahan moratorium dikuatkuasakan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Tindakan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melanjutkan tempoh moratorium (penangguhan) aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang disifatkan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sebagai lakonan ‘kenyit mata’ menteri berkenaan dengan kerajaan negeri memandangkan stokpile bauksit tidak berkurangan sejak arahan moratorium dikuatkuasakan.

Fuziah SallehMalah Fuziah yakin tempoh moratorium yang dilanjutkan sehingga 31 Mac tahun depan dibuat untuk menutup sebelah mata terhadap kepincangan pengurusan industri bauksit di Pahang sambil membenarkan pihak-pihak yang tidak beretika mengambil kesempatan di atas tempoh baru itu.

“Kenyataan tersebut juga ibarat lakonan main kenyit mata. Moratorium dilanjutkan atas alasan untuk membenarkan ‘stokpile’ dibersihkan sewaktu YB Menteri sedia maklum bahawa jumlah ‘stokpile’ sebelum ini tidak berkurangan walaupun aktiviti membersihkan ‘stokpile’ ditapak lombong berterusan dan YB Menteri juga membuat kenyataan tidak menolak kemungkinan perlombongan haram berlaku,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Fuziah menyarankan agar semua lesen melombong (AP) dibekukan kerajaan dan semua syarikat yang gagal menjalankan tugas membersihkan ‘stokpile’ dengan betul sehingga jumlah ‘stokpile’ tidak surut tidak dibenarkan sama sekali meneruskan tugas.

Beliau berpendapat, tempoh lanjutan moratorium itu hanya akan menambah risiko hakisan dari lombong-lombong sedia ada sehingga mengakibatkan pencemaran sungai dan sumber air.

“Laporan daripada pihak doktor dan para penyelidik dari Kementerian Kesihatan mengesahkan pencemaran tersebut.

“Laporan Ketua Audit Negara juga mengesahkan berkenaan pencemaran kualiti air dari aktiviti perlombongan bauksit serta mendedahkan tentang loji rawatan air yang terpaksa di tutup sebelum ini,” kesal beliau.

Fuziah juga mencadangkan agar sisa-sisa bauksit dibersihkan dengan menggunakan khidmat pihak ketiga yang tiada berkepentingan ke atas industri itu.

Kementerian juga, ujarnya perlu menjalankan proses rehabilitasi tapak-tapak lombong dan mengetatkan prosedur perlombongan sebelum membenarkan aktiviti perlombongan dibuat secara beretika.

“Selagi tidak di bersihkan dan tidak di rehabilitasi tapak2 lombong selagi itu kehidupan kami terancam.

“Tolonglah! Saya rayu, jangan bermain dengan keselamatan dan kesihatan manusia seramai 700,000 nyawa di sekitar  Kuantan,” ujarnya.

TAGS