Tangkap MO1: Wanita Amanah puji semangat mahasiswa

Tangkap MO1: Wanita Amanah puji semangat mahasiswa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) menyatakan sokongan padu kepada Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan), Anis Syafiqah Md Yusof yang dijatuhi hukuman bersalah oleh pihak berkuasa tatatertib pelajar Universiti Malaya (UM) kerana menyertai himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (MO1).

“Saya melahirkan sokongan yang padu sebagai wakil Awan kepada anak-anak dan adik-adik kita Anis Shafiqah bersama 3 lagi aktivitis mahasiswa yang lain yang telah didapati bersalah oleh lembaga disiplin UM susulan penglibatan mereka dalam himpunan “Tangkap MO1”.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dan jalan keluar dari kemelut ini,” kata perwakilan Awan Nasional Nurhidayah Ali sewaktu membahaskan pidato presiden di Konvensyen Amanah Nasional kali pertama di Shah Alam.

Selain Anis, tiga lagi yang dijatuhi hukuman sama ialah mahasiswa Akademi Pengajian Islam iaitu Suhail Wan Azahar, Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Fazli.

Keempat-empat aktivis kampus berkenaan yang juga dikenali sebagai kumpulan #Malaya4 dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

Mereka antara lain dituduh merosakkan nama baik universiti dan memudaratkan ketenteraman awam kerana menyertai demonstrasi berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu di ibu negara, 27 Ogos lalu.

Selain itu, Nurhidayah juga menyeru semua perwakilan dan pemerhati khasnya dari Awan agar mengambil contoh semangat waja dan jitu Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bulan lalu.

Beliau berkata Awan mesti bersedia menggalas tanggungjawab dalam sebarang usaha menyelamatkan Malaysia.

“Kita harus bekerja-keras dan perlu membuktikan bahawa kita amat serius dalam menggalas tugas yang diberikan. Awan mesti berupaya untuk memberikan yang terbaik.

“Saya yakin jika Awan memberikan komitmen yang tinggi dalam gerak-kerja parti dan pilihan raya, maka saya amat yakin bahawa lebih ramai Awan yang akan menang dalam PRU14 ini dan seterusnya membawa lebih ramai suara wanita di Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri terutamanya dalam memperjuangkan hak-hak wanita dengan lebih efektif dan adil,” tegasnya.

Sementara itu, beliau menggesa Amanah mengenal pasti calon-calon Awan untuk PRU14 bagi memenuhi kuota 30% Awan sebagai pembuat keputusan.

“Keputusan meletakkan calon-calon wanita yang akan bertanding di peringkat Parlimen dan Dun perlu dibuat dengan mengambil-kira peluang yang baik untuk mereka menang bukan semata-mata untuk memenuhi kuota tersebut.

“Dengan demikian, AMANAH perlu berusaha gigih untuk mengenal pasti calon-calon wanitanya yang berpotensi yang boleh diketengahkan semasa PRU14,” katanya.

Justeru katanya Amaanh perlu mengambil langkah efektif bagi mencapai matlamat ini.

“Amanah mesti menajlankan latihan secara berterusan. Latihan secara praktikal melalui perlantikan lebih ramai wanita sebagai ahli majlis dan JKKK serta menyediakan satu sistem sokongan yang efektif di antaranya – penyediaan tabung khas dana pilihan raya bagi calon wanita dan pembentukan jentera pilihan raya yang mahir dan berpengalaman,” katanya.

TAGS