Tangkap Orang Asli: Kerajaan negeri serah kepada polis, jabatan hutan, kata MB

Tangkap Orang Asli: Kerajaan negeri serah kepada polis, jabatan hutan, kata MB

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub berkata, Kerajaan Negeri telah menyerahkan isu berkaitan insiden menghalang laluan balak di tiga lokasi iaitu di Hutan Simpan Kekal Balah, Hutan Simpan Kekal Perias dan Hutan Simpan Kekal Gunong Stong Selatan kepada Jabatan Perhutanan Negeri dan pihak Polis.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub berkata, Kerajaan Negeri telah menyerahkan isu berkaitan insiden menghalang laluan balak di tiga lokasi iaitu di Hutan Simpan Kekal Balah, Hutan Simpan Kekal Perias dan Hutan Simpan Kekal Gunong Stong Selatan kepada Jabatan Perhutanan Negeri dan pihak Polis.

“Maka seharusnya hal ini tidak dicampur tangan oleh mana-mana pihak sehingga siasatan yang dijalankan selesai,” kata Ahmad dalam satu kenyataan ringkasnya hari ini.

Ahmad mengulas tindakan polis dan Jabatan Hutan memecahkan sekatan yang dibuat Orang Asli bagi menghalang pembalakan di kawasan mereka di Gua Musang.

Sehingga petang ini, 32 Orang Asli yang membuat sekatan itu telah ditangkap dan di bawa ke Balai Polis Gua Musang.

Turut dirampas adalah telefon bimbit serta kamera milik mereka.

Orang Asli mula membuat sekatan bagi menghalang pembalak masuk sejak 27 September lalu.Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jaringan Orang Asal SeMalaysia, Orang Asli membuat sekatan pada 27 September lalu setelah permintaan terhadap pihak berkuasa untuk menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan tanah adat mereka di Pos Simpur, Pos Gob, dan Kuala Bering telah gagal.

Semalam, katanya, pihak polis datang dengan surat perintah mahkamah yang menyuruh Orang Asli untuk datang ke Mahkamah Gua Musang pada 19 Disember 2016 dan mereka turut menyuruh penduduk untuk menandatangani surat tersebut namun mereka enggan.

Pagi ini Jabatan Perhutanan, Pasukan Gerakan Am (PGA), polis dan agensi lain datang ke tapak sekatan di Simpang Petei dan mula menahan mereka.

Halangan yang dibuat oleh Orang Asli sejak September itu dimusnahkan manakala rumah sementara yang mereka bina berhampiran kawasan sekatan itu dimusnahkan.

Sebelum ini, wakil mereka telah bertemu dengan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah di pusat pentadbiran kerajaan negeri, Kota Darul Naim.

Ekoran itu, Nik Amar berjanji akan pergi berjumpa dengan mereka di Gua Musang.

Namun selepas kira-kira sebulan berlalu, Nik Amar tidak kunjung tiba berbincang dengan mereka.

Orang Asli menuntut kawasan yang mereka duduki tidak diceroboh pembalak dan juga kawasan kebun mereka tidak dimusnahkan.

Namun bukan sahaja kayu balak di kawasan mereka ditebang bahkan semua pokok ditebang dan dibakar untuk dijadikan ladang dan kawasan pertanian.

Kubur Orang Asli juga dimusnahkan, manakala sumber air bersih mereka juga tercemar akibat pembakalan yang melampau.

 

TAGS