Teater Atas Pokok terima sijil Malaysia Book of Records

Teater Atas Pokok terima sijil Malaysia Book of Records

Teater Atas Pokok (TAP) yang dipersembahkan buat pertama kali malam tadi menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Teater Atas Pokok (TAP) yang dipersembahkan buat pertama kali malam tadi menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Pengarah TAP, Shamsudin Othman atau Dinsman menerima sijil tersebut daripada Pengarah Operasi Malaysia Book Of Records, Christopher Hw Wong selepas selesai persembahan kira-kira dua jam itu.

Turut menyaksikan penyerahan sijil ialah Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Sahri yang juga penasihat TAP.

Menyanyi dan bermain muzik dalam Teater atas Pokok di Shah Alam, satu pendekatan baru teater bagi menyampaikan mesej.Keunikan persembahan TAP yang menjadikan pokok angsana sebagai pentas utama berjaya memukau lebih 500 penonton untuk menyaksikannya dari awal hingga akhir pementasan.

Pementasan dimulakan dengan tarian Kuda Kepang daripada Sabak Bernam. TAP mengisahkan perjuangan penduduk kampung warisan Kuala Lumpur, Kampung Banda Dalam, Gombak yang mempertahankan kampung mereka daripada dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

Keberanian para pelakon memanjat pokok, duduk di atas buaian yang digantung di dahan yang tinggi dan bergayut dari dahan ke dahan sambil melontarkan dialog dan menyanyi sangat mengagumkan penonton.

Kawasan sekitar pementasan dipenuhi penonton yang duduk di atas rumput malah ada yang sanggup berdiri dari awal hingga akhir pementasan untuk menonton dengan jelas setiap adegan dalam TAP.

Ada juga penonton yang duduk di Kedai Kopi berhampiran pentas utama dan menonton pementasan melalui skrin yang dipasang.

Walaupun beberapa kali elektrik terputus menyebabkan suara pelakon agak tenggelam, namun penonton terus memberi semangat dengan memberikan tepukan gemuruh.

Para pelakon pula memberikan komitmen yang sangat tinggi untuk menjayakan pementasan.

TAP turut mengangkat dua sajak Sasterawan Negara Usman Awang iaitu “Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya” dan “Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar”.

Secara tidak langsung ia dapat memperkenalkan puisi berkenaan kepada orang ramai khususnya generasi muda.

Sementara itu, Tourism Selangor berkata, TAP menunjukkan tekad seni Dinsman yang sarat kritikan dan juga kempen kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar ketika pemanasan global melanda.

Malam ini merupakan malam terakhir pementasan TAP di hadapan Kedai Kopi, berhampiran Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 9 malam.

Ia dianjurkan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan kerajaan negeri Selangor.

TAGS