Tema ‘kesetaraan’ bukan cabar kuasa lelaki – Awan Nasional

Tema ‘kesetaraan’ bukan cabar kuasa lelaki – Awan Nasional

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hanya takwa yang membezakan wanita dan lelaki di sisi Allah SWT dan masing-masing mempunyai peranan tersendiri sesuai dengan fitrah kejadian, kata Ahli Jawatankuasa Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan Nasional), Aida Yusuf Rawa.

Aida yang juga Pengarah Program Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita berkata, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia bertemakan ‘Bersama Menjamin Kesetaraan’, Awan Nasional memberi fokus kepada isu-isu keganasan terhadap wanita di sepanjang tahun ini.

Ini kerana, tambah beliau kes-kes keganasan terhadap wanita terus meningkat saban tahun dan memerlukan penyelesaian segera.

“Kempen ini akan diadakan dan diteruskan dengan program-program menyebarkan informasi dan maklumat supaya tidak berlaku keganasan dalam rumahtangga.

“Kita juga akan melaksanakan program-program memberdayakan wanita untuk bangkit daripada tekanan jika keganasan terjadi,” katanya.

Jelas beliau, ‘keseteraan’ yang terkandung dalam tema sambutan Hari Wanita Sedunia sebenarnya menekankan konsep perkongsian bijak (smart partnership) antara wanita dan lelaki sekaligus mengingatkan kaum Adam supaya tidak melakukan keganasan terhadap wanita.

“Awan Nasional menyahut tema Hari Wanita Sedunia ini bagi memberi peluang yang sama kepada wanita; bukan untuk mencabar kuasa kaum lelaki dan bukan juga untuk mengambil tugasan kaum lelaki, tetapi bertujuan memberi ruang kepada wanita menggilap potensi sesuai dengan fitrah sebagai manusia yang mengetahui batas kemanusiaan dan nilai keagamaan,” tegas Aida.

Kempen ini juga, tambah beliau dapat membantu wanita untuk tampil dan bersuara kerana kebanyakan kes keganasan rumahtangga berterusan terjadi disebabkan wanita tidak tampil membuat aduan.

“Kempen ini juga merupakan suatu usaha Awan Nasional untuk memupuk dan mengekalkan kesejahteraan dan kebahagiaan dalam masyarakat,” jelas beliau.

Hadir pada majlis pelancaran kempen itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Ketua Wanita Amanah Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud.

TAGS