Tengku Mahkota Kelantan berkenan berangkat saksi majlis korban Maik

Tengku Mahkota Kelantan berkenan berangkat saksi majlis korban Maik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra hari ini berkenan berangkat menyaksikan Majlis Qurban Hari Raya Aidiladha anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.

Baginda yang tiba pada 8.30 pagi turut diiringi Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi.

Tengku Muhammad Faiz yang juga Yang Dipertua MAIK turut berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi menyaksikan ibadah korban tersebut.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata Tengku Muhammad Faiz turut berkenan menyumbangkan tiga ekor lembu pada majlis berkenaan, manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pula berkenan menyumbangkan seekor lembu dan seekor kerbau.

“Pada hari ini, MAIK mengorbankan 42 ekor lembu dan seekor kerbau termasuk sumbangan daripada Sultan Kelantan dan Tengku Mahkota Kelantan dan kami akan agihkan kepada kira-kira 1,000 fakir miskin di seluruh negeri ini.

“Masing-masing akan menerima kira-kira dua kilogram daging dan akan diagihkan pada hari ini juga. Lembu-lembu berkenaan kami beli daripada penternak dari negeri ini dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan,” katanya.

TAGS