Tentera Filipina bunuh anggota geng Muktadil ketika cuba selamatkan mangsa culik

Tentera Filipina bunuh anggota geng Muktadil ketika cuba selamatkan mangsa culik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tentera Filipina dilaporkan sedang mengasak kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang menahan beberapa mangsa culik, termasuk lima rakyat Malaysia, setelah membunuh dua pemimpin kumpulan yang bersubahat dengan kumpulan itu.

Kedutaan Filipina di Malaysia, yang memetik jurucakap markas Mindanao Barat dalam satu kenyataan berkata dua beradik, Nixon dan Brown Muktadil daripada Geng Muktadil yang bersenjata, melawan ketika cuba ditangkap dan terbunuh dalam kejadian itu pagi ini.

Katanya anggota tentera daripada Pasukan Petugas Bersama Sulu, yang dibantu sukarelawan dari bandar Panglima Estino, melancarkan operasi terhadap dua beradik itu di Pulau Tambulian, di daerah Pata.

Nixon Muktadil, ketua Geng Muktadil, saudaranya, Brown dan beberapa yang lain, terlibat dengan beberapa kegiatan culik untuk mendapatkan wang tebusan, yang menjadikan 26 rakyat Filipina, Malaysia dan Indonesia sebagai mangsa.

“Kematian dua beradik itu memberi tamparan hebat terhadap kumpulan Abu Sayyaf kerana mereka merupakan jurupandu dan pemandu arah laut ketika kumpulan itu melakukan penculikan di laut lepas,” kata jurucakap berkenaan.

Menurut kenyataan itu, terdahulu, pihak berkuasa Filipina menangkap atau “meneutralkan” beberapa anggota Geng Muktadil lain.

“Seorang lagi saudara lelaki mereka, Mindas, terbunuh dalam pertempuran dengan pegawai penguatkuasaan undang-undang di Jolo, Sulu, pada Mei tahun lepas. Khadafy Muktadil ditangkap pada November tahun lepas, juga di Jolo, dan kini berada di penjara,” kata kenyataan itu.

Polis kebangsaan Filipina memberi satu lagi tamparan terhadap rangkaian sokongan logistik Abu Sayyaf apabila mereka melumpuhkan sindiket pengedaran senjata yang membekalkan senjata serta peluru berkuasa tinggi kepada kumpulan itu serta merampas sejumlah pelancar bom tangan M203, M14, M16 dan beribu-ribu butir peluru bernilai enam juta Pesos (kira-kira RM513,000).

Ketua sindiket itu, Unding Kenneth Isa, serta tiga rakannya, ditangkap pada 24 Sept di San Juan City di Metro Manila, katanya.

Kenyataan itu berkata operasi penguatkuasaan undang-undang terhadap Geng Muktadil membuktikan kesungguhan Pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte “untuk menyelamatkan semua mangsa culik dan menamatkan kekejaman serta keganasan yang diperjuangkan anasir yang mencabuli undang-undang sejak bertahun-tahun lamanya”.

Katanya atas arahan President Duterte, sembilan batalion polis dan tentera terdiri daripada kira-kira 9,000 anggota dikerah dan menjalankan operasi keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang di tempat yang disyaki menjadi sarang persembunyian Abu Sayyaf di wilayah pulau Sulu dan Basilan.

Sejumlah besar bot bermotor tidak berdaftar dirampas beberapa hari lepas di Sulu dan kawasan perairan berdekatan, sekali gus mengganggu pergerakan anasir Abu Sayyaf.

Sekatan oleh pasukan Tentera Laut Filipina juga diadakan.

Hasilnya, 21 anggota Kumpulan Abu Sayyaf menyerah diri dan meletakkan senjata pada 23 Sept di Sumisip, Basilan, kata kenyataan itu.

Ketua Turus Angkatan Bersenjata Jen Ricardo Visaya berkata gerakan menentang keganasan dan kumpulan penculik Abu Sayyaf tidak akan dihentikan dan tiada tempoh masa ditetapkan mengenainya.

Pasukan tentera akan dikekalkan di kawasan itu sehingga objektifnya tercapai.

TAGS