Terasa selesa, tiada jurang berjuang menerusi AMANAH

Terasa selesa, tiada jurang berjuang menerusi AMANAH

Kawan-kawan sebut, sejak bersama AMANAH mereka rasa lebih selesa, relaks, santai, sambil kerja-kerja politik berjalan seperti biasa. Kata mereka, keluar Pas seperti keluar daripada kurungan atau lepas dari kandang.

Saya tak hadam maksud sebenar ungkapan tersebut, tetapi saya boleh menyelaminya berdasarkan rasa dan pengalaman sendiri. Mungkin apa yang saya rasa selari dengan apa yang mereka rasa.

Dalam AMANAH semua orang diletak setara sebagai manusia. Tiada sesiapa yang disanjung, diagung apatah lagi disuci-sucikan. Semua orang saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi tanpa terbeza dengan status atau kedudukan.

Ustaz Ahmad Awang, lulusan sarjana al-Azhar dalam bidang syariah, Ustaz Abd Ghani lulusan sarjana al-Azhar dalam bidang fiqh perbandingan, disapa dengan ustaz saja. Mereka selamba saja walaupun mereka orang alim.

Presiden AMANAH pula disapa dengan Bang Mat. Di mana-mana saja, orang menyapanya Bang Mat dan bergurau dengannya seperti sudah sangat biasa. Bang Mat pula layan mereka macam kawan yang sangat rapat.

Paling syok, Bang Mat boleh minum teh sambil makan kacang bendi cecah kuah gulai mamak sampai jam 2 pagi bersama kawan-kawannya. Khabarnya, Ustaz Fadhil Noor (UFN) juga seperti Bang Mat, suka “lepak” dan layan orang minum-minum sampai berhimpun jarum jam.

Maaflah, sekadar bercerita. Saya pernah makan sehidang dengan orang besar Pas bergelar Tuan Guru (bukan Tuan Guru Nik Aziz (TGNA)). Sepatah pun dia tak tegur saya, apatah lagi bertanya khabar. Dia makan, dan saya makan, akhirnya habis begitu saja.

Saya pernah makan sehidang dengan UFN, saya tak larat nak jawab soalan yang dia tanya. Kebetulan ketika itu sidang DUN Perlis baru selesai. Saya sangat terasa dia begitu ambil berat walaupun saya bukanlah orang besar parti ketika itu.

Selepas ketiadaan UFN, orang seperti terasa ada jurang yang agak luas antara mereka sebagai ahli biasa dengan pemimpin atasan Pas. Jurang itu diwujudkan melalui sapaan tuan guru, cium tangan, kawalan keselamatan ketat, tolong buka pintu kereta, hidangan berasingan dan banyak lagi.

Kata kawan-kawan tadi, kami lega sebab dalam AMANAH tidak ada itu semua. Kami seperti keluar daripada “penjara orang suci”, atau terlepas daripada “belenggu wala’ dan patuh”, ke sebuah medan luas berudara nyaman.

Ya, AMANAH bukan pondok indoktrinasi, jauh sekali menjadi kem latihan pentaksub atau pusat tarbiah perasan diri suci. Ia adalah wadah atau medan untuk rakyat bersuara, sambil menyumbang seadanya untuk sebuah kehidupan bernegara yang sentosa.

CATEGORIES