Tergugatkah kedudukan istimewa Melayu dalam PRU 14

 

Polemik tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra akan tergugat selepas PRU 14 kini didendangkan kembali. Polemik ini kembali hangat menjelang setiap kali PRU diadakan.

Momokan yang paling utama adalah bahawa DAP akan menjadi ancaman kepada orang Melayu kerana DAP akan memerintah Malaysia. Jika parti lain dalam komponen PH yang memerintah sekalipun, mereka akan tetap dipanggil kuda tunggangan DAP.

Benarkah begitu kesannya jika DAP menang banyak kerusi dalam PRU 14 yang akan datang? Bagaimanakah kedudukan orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.

Apakah benar jika Barisan Nasional (BN) kalah kepada Pakatan Harapan (PH) maka kedudukan orang Melayu akan tergugat? Atau, apakah yang dikatakan ancaman ini hanyalah gimik politik pihak tertentu untuk menakutkan pengundi daripada mengundi Pakatan Harapan.

Pas pula giat membuat momokan kononnya DAP akan menjadi ancaman kepada kesucian Islam. Maka, PAS mereka-reka pelbagai alasan yang tidak munasabah untuk menjustifikasikan tohmahan itu.

Sebenarnya momokan PAS itu akan membantu BN dengan mengurangkan keyakinan pengundi kepada PH dan sekaligus akan membenarkan BN kembali memerintah.

Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak adalah terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Intipati Perkara 153 menyatakan bahawa ada tiga perkara utama berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra ini yang diberikan keutamaan iaitu, perjawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan bantuan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

Tujuan utama orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak ini diberikan kedudukan istimewa adalah untuk membolehkan ketiga-tiga kategori bangsa ini dapat bersaing daripada segi ekonomi.

Realitinya, ramai penjawat awam dalam perkhidmatan awam adalah daripada bangsa Melayu. Malah, kaum lain tidak berapa tertarik untuk memasuki perkhidmatan awam dan mereka lebih gemar untuk bekerja sendiri atau di sektor swasta.

Begitu juga, biasiswa dan bantuan pelajaran yang diberikan oleh kerajaan sudah hampir tiada. Kesemua pelajar universiti kini terpaksa mengambil pinjaman daripada PTPTN. Selain itu, permit dan lesen perniagaan pula banyak dimonopoli oleh bangsa Melayu yang menjadi rakan niaga kepada parti pemerintah.

Maka, jika tindakan terpilih ini dibuat, sampai bilakah bangsa Melayu secara keseluruhannya akan maju. Permit dan lesen perniagaan ini adalah seperti AP import kereta, beras dan gula dan lain-lain bahan komoditi kesemuanya sudah mendatangkan wang yang lumayan kepada kroni.

Tambahan lagi, ada pihak yang hanya mendapat lesen dan permit tetapi setelah itu telah meng’alibaba’kan permit berkenaan. Ini juga adalah suatu bentuk pengkhianatan kepada Perkara 153 dan ketirisan sebeginilah yang menyebabkan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputra ini tergugat.

Peruntukan Perkara 153 adalah jelas memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memberikan arahan am berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra ini.

Ini bermakna, hal berkaitan kedudukan istimewa ini sepatutnya tidak boleh dimanipulasikan oleh orang politik kerana ianya berada di bawah naungan YDPA.

YDPA adalah dipilih daripada sembilan Raja-Raja Melayu yang akan bergilir-gilir memegang jawatan itu untuk tempoh selama lima tahun.

Tidak mungkin YDPA akan mengkhianati kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputra ini dengan membenarkan pindaan Perkara 153 ini dilakukan.

Maka, dalam hal ini tidak timbul kelak DAP akan menjadi ancaman kepada keruntuhan kedudukan istimewa ini.

Dalam keadaan sekarang ini, sebenarnya kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra ini telah pun dikurangkan oleh pemerintah yang sedia ada.

Kedudukan ini walaupun mendapat jaminan Perlembagaan tetapi perlaksanaannya dilakukan oleh sistem pentadbiran yang ada. Jika semangat politik kerajaan yang sedia ada ini kuat maka kedudukan istimewa itu pasti akan diperkuatkan.

Jika semangat politik itu telah tiada maka tiada apa-apa harapan lagi yang boleh diletakkan kepada pemerintah sekarang.

Dalam keadaan masa kini, kedudukan istimewa dalam Perkara 153 itu sudah kukuh dan terjamin. Peruntukan Perlembagaan itu sangat sukar dipinda kerana ianya memerlukan sekurang-kurangnya 2/3 sokongan majoriti ahli parlimen.

Tidak mungkin DAP akan mendapat 2/3 sokongan majoriti kerana DAP hanya akan bertanding sekitar 50 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Jika DAP menang kesemua kawasan pun masih tetap DAP tidak mendapat sokongan majoriti 2/3. Tambahan lagi, ada calon parlimen DAP yang berbangsa Melayu maka tidak mungkin beliau sendiri akan menyokong untuk meminda Perkara 153.

Sebaliknya, jika dilihat dasar pemerintah yang sedia ada, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak ini semakin terancam.

Seperti yang dikatakan di atas bahawa kini para pelajar universiti dan kolej amat sukar untuk mendapat sebarang biasiswa atau bantuan pelajaran secara percuma daripada kerajaan.

Kesemua bantuan itu sudah dijadikan sebagai pinjaman PTPTN. Jika masih dikekalkan pemerintahan yang sedia ada maka dikhuatiri kedudukan istimewa ini akan terus terancam. Sebaliknya, dengan pemerintahan yang baharu, ruang untuk bersuara pasti akan menjadi lebih baik.

Jika ruang untuk bersuara diberikan pasti isu-isu sensitif seperti kedudukan istimewa ini akan dapat dibincangkan secara bebas dan sihat.

Dialog terbuka secara harmoni akan membantu supaya masing-masing dapat memberikan pandangan dan buah fikiran yang akan dapat memajukan rakyat Malaysia.

Apa yang mencetuskan perasaan tidak puas hati kaum lain adalah kerana mereka tidak dibantu dengan biasiswa atau sokongan pelajaran oleh pemerintahan sedia ada walaupun mereka seorang yang genius dan berpotensi untuk menjadi seorang intelektual. Mereka pula berasal daripada keluarga yang susah dan memerlukan bantuan.

Justeru, dakwaan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak akan terjejas selepas PRU-14 perlu diselidik dengan teliti sebelum diterima bulat-bulat.

Dakwaan seperti itu hanyalah untuk menaikkan emosi pengundi dan menghilangkan kewarasan pengundi untuk menimbangkan sesuatu kempen secara objektif.

Dakwaan ini juga dibuat bagi menakut-nakutkan orang ramai dengan pengaruh PH yang berpotensi menggugat pemerintah BN selama 60 tahun ini.

CATEGORIES
TAGS