Terkini 54 terbunuh, ratusan tercedera gempa bumi di Acheh

Terkini 54 terbunuh, ratusan tercedera gempa bumi di Acheh

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kejadian gempa bumi berskala 6.4 ritcher melanda Acheh awal pagi tadi mengorbankan 54 nyawa sehingga petang ini.

Panglima Tentera Wilayah Aceh sebentar tadi mengesahkan 54 maut dalam kejadian gempa bumi kuat 6.5 magnitud di wilayah itu, awal pagi tadi.

Mej Jeneral Tatang Sulaiman berkata, 52 yang terbunuh adalah di Daerah Pidie Jaya iaitu tempat paling hampir dengan pusat gegaran manakala dua lagi di daerah berjiran, Bireuen

Mangsa gempa bumi terpaksa dipindahkan ke Hospital Sigli yang terletak di daerah bersebelahan Acheh, hari ini susulan masalah kekurangan kakitangan perubatan di Hospital Pidie Jaya.

Seorang sukarelawan polis Acheh, Royan berkata, Hospital Pidie Jaya sesak dengan berpuluh-puluh mangsa yang cedera memaksa sebahagiannya dipindahkan ke Hospital Sigli, kira-kira 60 kilometer dari Pidie Jaya.

Agensi berita Antara memetik seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali sebagai berkata, ramai marah kerana mangsa yang cedera terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pidie Jaya.

Dalam perkembangan sama Agensi melaporkan Presiden Indonesia, Joko Widodo mengarahkan institusi kerajaan berkaitan menyokong usaha menyelamat di Aceh susulan gempa bumi 6.5 magnitud melanda timur laut wilayah itu, pagi ini.

“Saya sudah mengarahkan beberapa institusi kerajaan menjalankan usaha pemindahan,” kata Presiden, hari ini.

Katanya, beliau turut mengarahkan Ketua Staf Presiden, Teten Masduki supaya pergi ke Aceh untuk memantau situasi.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) melaporkan pusat gempa bumi itu terletak 18 kilometer di timur laut daerah Pidie Jaya dan berlaku pada kedalaman 10 kilometer. Ia berlaku sebaik selepas jam 5.00 pagi.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi 8.9 magnitud mencetuskan gelombang tsunami yang melanda Aceh dan lebih 120,000 terkorban.

Antara bangunan yang rosak akibat gempa berlaku di kawasan Pidie Jaya.

TAGS