Tetapkan piawaian bina maahad tahfiz, tingkatkan pemantauan

Tetapkan piawaian bina maahad tahfiz, tingkatkan pemantauan

Mana-mana pihak yang mahu membangun institusi tahfiz mestilah betul-betul bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar, guru dan bangunan serta kualiti pembelajaran yang dikendalikan.

Institusi tahfiz yang hendak beroperasi juga mestilah melalui proses penguatkuasaan dan pemantauan yang telus dan berterusan.

Pihak berkuasa juga perlu menyediakan dana khusus dan mencukupi agar pusat-pusat tahfiz yang dibangunkan mampu menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Tiga cadangan di atas dikemukakan Biro Pendidikan Parti Amanah Negara ekoran kejadian kebakaran yang meragut 25 nyawa membabitkan sebuah maahad tahfiz di ibu negara pagi tadi.

{loadposition myposition}

“Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin merakamkan takziah dan rasa simpati yang amat mendalam kepada keluarga yang terlibat dalam musibah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kg Dato Keramat yang telah mengorbankan 22 orang pelajar dan dua orang guru.

“AMANAH meminta agar keluarga mereka bersabar dan menerima ketentuan dari Allah SWT,” ujar Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Dr Hasan Baharom dalam satu kenyataan media dikeluarkan petang tadi.

Mengulas lanjut, Dr Hasan memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang punca kejadian kebakaran tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat penyiasatan menyeluruh terhadap punca kejadian itu.

AMANAH bagaimanapun, tambah beliau memandang serius musibah yabg berlaku kerana ia bukanlah kejadian pertama melibat pusat pengajian tahfiz di negara ini malah kadang kala ia berlaku atas faktor sama yang sentiasa berulang.  

“Justeru untuk mengelak musibah seperti ini berulang, AMANAH menggesa semua pihak yang terlibat dalam proses pembangunan institusi tahfiz agar mengikut piawaian kualiti yang telah ditetapkan, supaya kejadian seperti itu tidak akan berulang,” ujarnya.

Menurut Dr Hasan, meskipun usaha mendirikan institusi pengajian Islam seperti maahad tahifiz adalah usaha yang amat murni dan harus didokong semua pihak, namun ia mestilah mengikut piawaian dan perlu diteliti secara menyeluruh dari pelbagai aspek.

CATEGORIES
TAGS