TH tarik laporan polis dibuat, CEO baharu perlu saringan Parlimen,kata Rafizi

TH tarik laporan polis dibuat, CEO baharu perlu saringan Parlimen,kata Rafizi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mahu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) menarik balik laporan polis yang pernah dibuat ke atas beliau jika benar Ketua Pegawai Eksekutifnya  Tan Sri Ismee Ismail akan meletakkan jawatan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan sebuah portal berita The Edge Finacial Daily semalam (http://www.theedgemarkets.com/my/article/ismee-resigns-lembaga-tabung-haji).

“Saya mengambil maklum berita yang disiarkan The Edge Financial Daily mengenai keputusan Tan Sri Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji yang akan meletakkan jawatan mengikut sumber akhbar kewangan tersebut.

“Saya tidak terkejut dengan berita itu kerana saya memang telah mendengar ura-ura ini sejak sebulan yang lalu semasa persidangan Parlimen yang lalu.

“Jika benar, ia merupakan satu kemenangan kepada rakyat dan secara tidak langsung mengesahkan bahawa kesemua isu bersabit tata kelola dan kedudukan kewangan Tabung Haji yang saya bawa sebelum ini ada kebenarannya.

“Oleh yang demikian, saya menyeru supaya pengurusan baru Tabung Haji kelak meneliti kesemua isu yang saya bawakan dan memberi penjelasan yang telus kepada rakyat.

“Saya juga ingin menyatakan apabila isu-isu itu terbukti ada kebenarannya, maka wajarlah Tabung Haji menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap saya dan menggugurkan kes jenayah supaya satu tindakan saman di mahkamah sivil boleh diambil jika isu-isu yang saya bawa dikira memfitnah Tabung Haji,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Naib Presiden PKR ini berkata, dengan mengambil kira keterlibatan Ismee di dalam 1MDB dan kemungkinan beliau juga akan disiasat tidak lama lagi,ujarnya lagi, kerajaan tidak boleh melantik Ismee ke mana-mana jawatan dalam agensi, badan atau syarikat yang dikawal oleh kerajaan sehingga siasatan selesai dan disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan atau kecuaian.

“Saya berharap sebarang usaha untuk melantik beliau menjadi orang nombor dua di Sime Darby seperti yang dilaporkan tidak diteruskan.

“Bagi memastikan sebarang langkah melantik beliau ke mana-mana jawatan di badan berkepentingan awam tidak diteruskan sehingga siasatan ke atas 1MDB selesai, saya akan memfailkan satu usul untuk dibahaskan di sidang Dewan Rakyat akan datang menghalang sebarang usaha ke arah itu,” ujarnya.

Rafizi turut mencadangkan kepada pengurusan TH, (CEO) yang baharu perlu disenarai pendek dan dipilih dari luar supaya beliau boleh bertindak secara objektif menilai segala masalah yang ada.

Selain katanya, calon CEO baru itu hendaklah melalui proses saringan yang dikendalikan oleh satu jawatankuasa khas Parlimen yang bertanggungjawab membuat pendengaran terbuka (“confirmation hearing”) bagi memastikan beliau benar-benar sesuai

Dan CEO baru melakukan audit khas mengenai kedudukan kewangan dan operasi kumpulan TH sebaik dilantik dan dibentangkan sebagai kertas putih di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

“Saya berharap rakyat akan terus bersama-sama memberi perhatian dan menjadi timbang tara kepada pengurusan badan-badan awam seperti Tabung Haji untuk mengelakkan perkara-perkara yang sama berulang.

“Walaupun berita ini saya sambut dengan rasa syukur, saya akan terus menumpukan kepada analisa dan pendedahan berkaitan Tabung Haji bermula minggu ini.” ujar Setiausaha Agung PKR ini.

 

TAGS