Thaqif dan Siti Aishah: Tragedi dua anak muda

Thaqif dan Siti Aishah: Tragedi dua anak muda

Mohamad Thaqif Amin Ahmad Ghadaffi

Dua peristiwa hitam amat sedih berlaku pada 26 April 2017 ke atas generasi anak muda kita. Pertama, adalah pemergian adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11 tahun, pada jam 2.05 petang dipercayai mangsa penderaan.

Kedua, adalah hukuman penjara 5 tahun ke atas Siri Noor Aishah Atam, 29 tahun, pada jam 12 tengah hari,atas tuduhan aktiviti berkaitan pengganas walaupun beliaulah mangsa sebenarnya.

Kedua-dua mereka adalah mangsa kepincangan sistem perundangan serta moral Malaysia yang berada di tahap terendah sejak negara ini wujud selepas merdeka.

Adik Thaqif dipercayai didera oleh pembantu warden hostelnya sehingga kedua-dua kaki beliau terpaksa dipotong. Sebelum doktor sempat memotong lengan beliau yang juga telah dijangkiti kuman, adik Thaqif telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Beberapa soalan perlu di jawab di sini.

i) Bagaimana seorang bekas banduan boleh dilantik sebagai pembantu warden dan ditugaskan mendisiplin murid sekolah Tahfiz ini?

ii) Kenapa selama dua minggu selepas beliau dipukul dan mengadu sakit arwah tidak diberi rawatan?

iii) Kenapa tidak ada garis panduan menghukum murid secara merotan atau sebagainya diadakan di sekolah ini?

Ini bukan pertama kali isu-isu seperti di atas berlaku di tempat-tempat lain dan sepatutnya peraturan SOP (Standard Operational Pprocedures) boleh mengatasinya.

Masalahnya adalah sering berlaku campur tangan “kuasa besar” orang kenamaan – VIP, yang menggagalkan perlaksanaan peraturan.

Apabila sekolah atau tempat lain dimiliki oleh orang-orang yang mempunyai kaitan politik atau orang kenamaan, isu serta masalah berkaitan disenyapkan tanpa tindakan diambil.

Kerana itu apa-apa masalah yang timbul tidak di ambil tindakkan sepatutnya. Akhirnya tiada siapa dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman sepatutnya. Oleh itu segala peraturan saperti memilih pegawai sesuai yang tidak mempunyai rekod jenayah, merawati pelajar yang sakit atau cedera dan peraturan – prosedur ketat cara menjatuhkan hukuman ke atas pelajar kesemuanya diabaikan.

Apabila peraturan dan hukuman sepatutnya tidak dilaksanakan, inilah yang menyebabkan tragedi seperti kematian adik Thaqif berlaku. Untuk dua minggu kaki Thaqif lebam dan beliau mengadu sakit tanpa tindakan.

Bagaimana sebuah sekolah agama Islam tidak menunjukkan keprihatinan terhadap seorang anak berusia 11 tahun yang sakit ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Masalah sikap tidak baik ditunjuk di peringkat tertinggi negara kita dengan tiadanya contoh “good governance” – tadbir urus baik, ditunjukkan oleh kerajaan sendiri. Masalah kesalahan rasuah hartanah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia sehingga kini tiada tindakan yang sepatutnya di ambil ke atas orang atasan. Masalah kerugiaan berbillion ringgit wang Felda juga tiada tindakan atau siasatan terperinci dijalankan.

Kerugian serta kehilangan puluhan billion wang negara dari 1MDB juga tiada tindakan sepatutnya diambil. Malaysia adalah negara di mana jenayah berlaku tanpa penjenayah – “Crimes without Criminal” ! Penjenayah bebas bergiat di Malaysia. Ini sudah menjadi kebiasaan di Malaysia dan kita ingin lihat sejauh mana siasatan serta tindakan akan di ambil dalam insiden Thafiq.

Adik Thaqif adalah mangsa sistem nilai yang menjadi amalan serta budaya Malaysia hari ini. Sesiapa yang mempunyai kedudukan dan berkuasa akan dilindungi untuk menjaga air muka sesebuah “instituisi establishment” tersebut tidak kira sangat siapa salah atau betul! “Status-quo” orang atasan mesti di lindungi dengan apa jua cara seperti sistem feudal dahulu kala.

Kerajaan Najib baru baru ini membahagikan RM80 juta kepada sekolah agama Islam, pusat tahfiz dan sebagainya dan ini adalah cara kerajaan “menjaga” institusi tersebut cara simbolik dan luarannya. Apa yang berlaku di sebalik tabir tidak di beri perhatian sangat selagi masing masing boleh menjaga pengaruh dan kedudukan mereka – itu yang penting. Berapa orang lagi seperti adik Thaqif sedang mengadu penderitaan mereka didalam dairi mereka kerana penguasa sekolah serta asrama terlalu mementingkan pangkat dan kedudukan untuk mendengar rintihan mereka?

Inilah situasi kelam sebenarnya di bumi Malaysia tanah air ku.

Siti Noor Aishah AtamPada hari yang sama adik Thaqif meninggal, Siti Noor Aishah Atam telah di kenakan hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan memiliki 12 buku yang dikaitkan dengan tuduhan aktiviti penganas. Bukan sahaja hukuman hampir maksima 5 tahun dianggap terlalu keras, Aishah sebenarnya adalah mangsa sistem kita di mana yang muda dan lemah sering di jadikan contoh untuk dikambinghitamkan. Para agamawan yang berumur dan berpengaruh serta berkedudukan tidak diambil tindakan yang sewajàrnya walaupun pengaruh mereka ini amat luas dan berkesan

Penyebaran budaya takfiri mengkafirkan sesama Islam serta “halal darah” dan ungkapan “wajib di hapuskan” sering dilaungkan di masjid serta surau tanpa apa-apa tindakan. Mufti yang meng’kafirharbi’kan pihak tertentu rakyat Malaysia juga di biarkan sahaja. Ini adalah gesaan terbuka yang keterlaluan yang berpotensi memberi restu tindakan keganasan dari mereka yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat.

Mengapa tiada tindakkan langsung ke atas mereka? Bandingkan dengan Aishah yang tidak dikenali sebelum ini, tiada kedudukan serta pengaruh dan kurang matang lagi pemikiran anak muda ini.

Beliau sekadar menyatakan hasrat untuk menyertai NGO kemanusiaan ke Syam untuk “berjihad” – yang definasinya adalah luas termasuk membantu orang susah di jalan Allah. Beliau belum menjejak kaki pun keluar Malaysia kerana mendengar kata ibu dan bapa beliau. Beliau “dipergunakan” oleh pensyarah beliau, Dr Mahmud, bagi menjalankan kajian dengan 12 buku berkenaan untuk tesis tentang aktiviti pengganas di Timur Tengah. Buku-buku tersebut sehingga sekarang masih belum diharamkan.

Dr Mahmud kini telah melarikan diri dan diberitakan berada di Filipina. Aishah juga didekati oleh seorang pelajar lain di universiti tempat beliau belajar bernama Muammar Gadaffi yang mengajak beliau berkahwin dan pergi ke Timur Tengah. Sekali lagi Aishah tidak pernah keluar negara atau mengikuti Muammar. Aishah yang masih muda adalah mangsa dalam isu ini kerana dipergunakan oleh orang yang berkedudukan dan berkuasa. Namun Aishah yang lemah ini tidak pernah melaungkan tuduhan takfiri, halal darah, wajib dihapuskan atàupun kafir harbi di mana-mana majlis pun seperti pihak lain yang berpengaruh di masjid serta surau dan malahan yang berpangkat Mufti yang patut menjadi contoh yang baik.

Kenapa mereka yang dewasa serta berkedudukan dan berkuasa ini tidak diambil tindakan tetapi Aishah yang muda dan lemah ini di jadikan “contoh” untuk dikambinghitamkan?

Kata-kata siapa yang lebih berpengaruh dan bahaya? Kata-kata Aishah atau para agamawan yang mempunyai kedudukan dan kuasa dalam masyarakat?

Kenapa anak muda serta mahasiswa sering menjadi mangsa dan ditindas serta didiskriminasikan? Adakah mereka mangsa yang mudah (soft target) untuk kerajaan?

Di mana keadilan untuk anak muda. “Keadilan bukan sahaja mesti di laksanakan, tetapi ianya mesti juga kelihatan di laksanakan !” Inilah penyakit fenomena “antara dua darjat” negara Malaysia kita hari ini. Mereka yang berkedudukan dan berkuasa dilindungi walau pun jenayah di lakukan. Yang muda dan lemah senantiasa dijadikan mangsa dikambinghitamkan.

Inilah nasib malang adik Thaqif yang meninggal jam 2 petang iaitu 2 jam selepas Aishah dihukum lima tahun penjara di hari yang sama. Seorang berhasrat menjadi tahfiz dan seorang lagi pelajar Usuluddin anak muda yang baru mahu memulakan thesisnya.

Saya amat terharu semasa menunggu hukuman dijatuhkan, Aishah menghampiri saya di dalam kamar mahkamah dan minta saya membantu beliau meneruskan pengajian dalam bidang pengajian Islam semasa di dalam penjara.

Insya Allah akan saya usahakan. Mereka, Thaqif dan Aishah, kedua-duanya mangsa sistem yang amat pincang di negara Malaysia hari ini.

Apakah masih ada harapan generasi anak muda kita hari ini di dalam situasi negara yang hilang nilai moral murni agama serta hala tuju kepimpinan kerajaan?

TAGS