The Edge buat keputusan tutup The Malaysian Insider

The Edge buat keputusan tutup The Malaysian Insider

Selepas disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pemilik The Malaysian Insider (TMI), The Edge Media Group memutuskan untuk menutup laman itu mulai tengah malam ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selepas disekat hampir 20 hari oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pemilik The Malaysian Insider (TMI), The Edge Media Group memutuskan untuk menutup laman itu mulai tengah malam ini.

Keputusan penutupan itu dibuat oleh The Edge menggunakan alasan kewangan, beritahu Jahabar Sadiq, Editor dan Ketua Pegawai Eksekutif TMI dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh TMI hari ini.

“Saya berharap kami memberikan khidmat dengan baik sejak kami bermula pada 25 Februari 2008. Dan kami berharap, pihak-pihak lain akan terus memberikan khidmat kepada anda ketika kami tidak ada nanti,” tulis Jahabar ketika memaklumkan perkara ini.

Tetapi ketika membuat pengumuman itu, Jahabar menegaskan dia tidak akan berhenti menulis.

“Saya tidak akan berhenti menulis. Saya tidak akan meletakkan kamera saya. Saya tidak akan berhenti bercakap dan saya tidak akan membuat pekak badak dengan apa yang berlaku di Malaysia dan dunia. Dan saya juga menyeru anda agar membuat perkara yang sama,” kata Jababar.

Menurut Alexa.com, TMI adalah antara laman berita popular di Malaysia dengan menduduki tempat kedua selepas Malaysiakini.

TMI dimulakan menjelang pilihan raya umum 2008. Pada tahun 2014, The Edge Media Group telah membeli laman itu dari pelabur asalnya.

Namun sejak beberapa bulan lalu, berita tersebar kononnya The Edge mahu menjual TMI kepada mana-mana pihak yang berminat ekoran masalah kewangan dan politik yang dihadapi oleh pemiliknya dan kumpulan media itu.

Jahabar dikatakan telah membuat cadangan kepada The Edge untuk membeli balik TMI, namun ketika itulah SKMM telah mengambil tindakan menyekat TMI.

Kini, Jahabar dikatakan akan membuat laman baru bagi menggantikan TMI dan sebahagian besar team yang ada dikatakan akan kekal bersama Jahabar dan laman barunya.

 

 

TAGS