Tiada jaminan peluang kerja meningkat dengan TPPA

Tiada jaminan peluang kerja meningkat dengan TPPA

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tiada jaminan peluang kerja rakyat tempatan akan meningkat dengan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) malah peluang rakyat tempatan untuk meraih pekerjaan melalui syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini bakal tergugat dengan kehadiran buruh mahir warga asing.

Ahli Dewan Negara, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, draf perjanjian TPPA tidak menyatakan bahawa semua syarikat luar negara yang bakal beroperasi di Malaysia
wajib untuk memastikan 30 hingga 50 peratus tenaga kerja tediri dari kalangan rakyat tempatan.

Menurut beliau, syarikat asing yang beroperasi di negara ini lebih cenderung membawa tenaga kerja mahir dari negara asal mereka bagi memastikan kualiti produk terjamin.

“Ini sekaligus membuatkan kadar pengangguran dan hilang jawatan (di kalangan warga tempatan) akan terus berlarutan,” katanya.

Sehubungan itu beliau meragui jaminan kerajaan bahawa peluang pekerjaan akan meningkat setelah TPPA dilaksanakan dan kadar pengangguran negara akan berkurangan.

Beliau juga bimbang dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia bahawa pekerja asing akan mendapat hak yang sama sebagai mana pekerja tempatan termasuk menjadi pemimpin sesebuah kesatuan sekerja.

“Ini jelas menunjukkan gugurnya hak keistimewaan rakyat Malaysia dalam isu pengarahan,” katanya.

Aishah yang juga Ketua Srikandi Keadilan mahu rakyat faham bahawa mereka bakal ‘dijajah’ oleh kuasa besar dunia.

“Kesan TPPA tidak akan berlaku serentak tetapi ia akan berlaku peringkat demi peringkat. Rakyat akan terus menjadi mangsa kepada kecelaruan pemerintah sedia
ada,” ujarnya.

TAGS