Tiada keperluan ambil tindakan terhadap14 Ketua Bahagian Umno, kata Tengku Adnan

Tiada keperluan ambil tindakan terhadap14 Ketua Bahagian Umno, kata Tengku Adnan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tiada keperluan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang Ketua Umno Bahagian di Kedah.

Berikut kenyataan penuh Setiausaha Agung Umno sebagaimana dipetik daripada portal rasmi Umno:

Berhubung dengan perkara yang berlaku di Kedah, Ibu Pejabat Umno memantau sidang media yang telah diadakan oleh Ketua-ketua UMNO Bahagian Negeri Kedah pada 20 Januari 2016.

Mereka telah meminta agar  Presiden Umno  Datuk  Seri  Mohd Najib Razak  melakukan perubahan ke atas kepimpinan tertinggi parti di Negeri Kedah yang menurut mereka gagal menggerakkan Umno  Negeri Kedah dan juga gagal sebagai Menteri Besar.

Mereka berharap  Presiden Umno  dapat segera membuat perubahan demi kelangsungan parti Umno dan kepentingan rakyat Negeri Kedah.

Justeru itu, tidak timbul di mana Setiausaha Agung Umno  perlu mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang Ketua Umno Bahagian Negeri Kedah tersebut.

Petang tadi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM)  telah berkumpul di Lobi Bangunan Umno untuk menghantar memorandum yang mendesak  Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan displin mengikut perlembagaan parti itu ke atas 14 Ketua Bahagian Umno Kedah yang cuba menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, jika beliau bersama sembilan lagi Ketua-Ketua Cawangan Umno dalam Bahagian Jerlun, dikenakan tindakan hukuman gantung keahlian selama enam tahun, jadi sudah tentu tidak ada sebab pula untuk Lembaga Disiplin parti mengenakan tindakan dan hukuman sama kepada Ketua-Ketua Umno Bahagian berkenaan.

Malaysia Dateline cuba menghubungi GKCM untuk mendapatkan maklum balas terhadap kenyataan rasmi oleh Setiausaha Agung Umno petang ini,  tetapi menurut wakil  pegawai media GKCM, pihaknya akan membuat kenyataan balas rasmi mengenainya.

TAGS