Tiada parti mendominasi dalam Pakatan Harapan

Tiada parti mendominasi dalam Pakatan Harapan

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, tiada mana-mana parti di bawah gabungan Pakatan Harapan bersifat mendominasi seperti Umno sebagai komponen BN.

Walaupun Bersatu memperoleh agihan kerusi Parlimen di Semenanjung paling banyak, ujarnya, parti dipengerusikan Tun Mahathir itu masih tertakluk di bawah proses semak dan imbang.

“Di bawah Pakatan Harapan, kedudukan Bersatu tidak seperti Umno dalam BN. Dalam BN dulu, hanya ada satu parti Melayu iaitu Umno sampai bertanding 120 kerusi.

“Dalam Pakatan Harapan, tiada parti yang mendominasi. Pakatan Harapan ada semak dan imbang. Macam soal rundingan kerusi inilah, kita bincang, rancang dan setuju bersama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual moderator, Asyraf Wahab di saluran TV internet, Jom Channel baru-baru ini.

Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan berkata, Bersatu berbeza dengan Umno yang mendominasi BN seperti pada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Dia (Umno) menang 88 (kerusi) iaitu lebih separuh pada pilihan raya lalu. Jadi, apa dia kata, orang lain kena ikut pasal dia majoriti. Jadi, dia boleh dominasi.

“Dalam Pakatan Harapan, walaupun PPBM bertanding 52 kerusi dan itu memang jumlah yang lebih daripada DAP sekalipun, kalau menang semua 52 kerusi pun masih tidak separuh daripada 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Inilah yang menjamin dia (Bersatu) tidak boleh buat lagi,” ujarnya menjawab kemungkinan PPBM mengulangi kepincangan urus tadbir di bawah Umno sekiranya menang PRU-14.

Mengulas pemilihan Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Khalid berkata, keputusan Pakatan Harapan itu mengambil kira langkah untuk menarik pengundi Melayu khususnya di luar bandar.

“Masalah kita untuk mendapatkan sokongan orang kampung, orang Melayu. Ini yang kita kalah selama ini, yang menyebabkan Umno-BN terus memerintah.

“Kita terpaksa tonjolkan Tun Mahathir sebab dia sudah 22 tahun jadi Perdana Menteri. Walaupun dulu dia banyak masalah dari sudut politiknya tetapi dari sudut ekonomi, negara kita masyhur sebagai negara yang maju.

“Kita tidak kena GST, kita masih dapat biasiswa, harga minyak stabil,” katanya.

Menurutnya, jumlah hutang negara juga jauh lebih rendah ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri berbanding Najib Razak pada masa ini.

“Kalau nak banding zaman Najib dengan zaman Mahathir, jauh lebih baik. Hutang negara zaman Mahathir hanya RM180 bilion. Sekarang zaman Najib hampir RM1 trilion iaitu kita 900,000 juta.

“Sudahlah rakyat sakit, dia (Najib) pergi bawa keluarga angkut anak cucu sebagai lawatan kerja (ke Arab Saudi) tapi senarai (rombongan) anak, cucu dan menantu. Ini yang kita kena betulkan

“Tapi orang Melayu takkan berani buat perubahan itu kecuali dia nampak ada satu pemimpin,” tambah Khalid lagi.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES