Tiada peruntukan undang-undang halang sumbangan dana asing

Tiada peruntukan undang-undang halang sumbangan dana asing

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dana asing yang diterima portal berita tempatan malah dua akta berkaitan iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tidak memberi kuasa kepada SKMM untuk menjalankan siasatan, kata peguam hak asasi Syahredzan Johan.

Bahkan tegas beliau, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang portal berita daripada menerima sumbangan dana asing.

Mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak bahawa SKMM sedang menyiasat laporan penyaluran dana asing kepada Malaysiakini, Syahredzan berkata tindakan SKMM itu adalah melampaui (ultra vires) kuasa yang termaktub dalam dua akta tersebut.

Syahredzan turut merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa Bersih dan kumpulan baju merah ‘diharamkan’ berhimpun kerana dua entiti itu tidak berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan.

Menurut beliau, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pertubuhan bagi menghalang Bersih dan kumpulan baju merah daripada berhimpun.

Menyentuh tindakan geng baju merah yang mengadakan demonstrasi di hadapan Pejabat Malaysiakini semalam, beliau berkata ketua kumpulan baju merah yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos boleh disiasat di bawah Seksyen 9, Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberi notis 10 hari kepada polis bagi mengadakan perhimpunan.

“Jamal dilaporkan mengancam bahawa bangunan Malaysiakini boleh runtuh. Jika undang-undang dikuatkuasakan secara adil, dia boleh disiasat kerana membuat ancaman jenayah di bawah Kanun Keseksaan,” tegasnya.

TAGS