Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di Istanbul

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di Istanbul

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Reina, sebuah kelab malam di Istanbul pada 1 Januari lalu yang telah meragut 39 nyawa serta mencederakan 69 orang.Kerajaan Malaysia merakam rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat di dalam serangan tersebut dan Kerajaan Republik Turki serta berharap mereka yang cedera akan cepat pulih.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, Kerajaan Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Turki dalam menentukan jika ada rakyat Malaysia antara mereka yang terlibat dengan serangan itu.

“Setakat ini, tidak ada pengesahan bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian ini. Kedutaan juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Turki dan rakyat Malaysia di sana termasuklah para pelajar yang menuntut di Istanbul,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau yang berhasrat mengadakan lawatan ke Istanbul dan bandar-bandar utama yang lain di Turki supaya sentiasa berhati-hati dan memberi perhatian kepada keselamatan diri, serta memantau dan merujuk kepada nasihat keselamatan yang dikeluarkan oleh Republik Turki.

Dalam kejadiaan malam tahun baru tersebut, eeorang penyerang menembak pegawai polis dan seorang awam ketika memasuki kelab malam Reina, sebelum melepaskan tembakan rambang.

Kira-kira 500 hingga 600 orang dikatakan berada dalam kelab tersebut apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan kira-kira pukul 1.05 pagi.

TAGS