Tiada sebab parti pembangkang tidak boleh contohi Anwar

Tiada sebab parti pembangkang tidak boleh contohi Anwar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menzahirkan teladan kepada semua pihak dan tiada sebab kesemua parti pembangkang tidak boleh mengambil contoh baik tersebut, kata Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Aiman Athirah Aljundi.

Menurutnya, episod pertemuan antara Anwar dan Tun Mahathir di Mahkamah Jalan Duta hari ini tidak akan meninggalkan sebarang kesan positif kepada pembangkang jika masih enggan mengambil langkah sewajarnya.

“Peristiwa hari ini sangat bersejarah dan diharap jadi petanda baik kepada pakatan pembangkang yang ada. Semua perlu bersedia kembali ke meja rundingan, mengenepikan apa jua pergeseran serta meletakkan keutamaan kepada kepentingan menyelamatkan negara dan mensejahterakan rakyat

“Pembangkang juga mesti merangka strategi ke hadapan sekaligus segera menyusun jentera parti masing-masing untuk bergerak seiring senada menghadapi musuh yang sama iaitu Umno-Barisan Nasional,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut, Athirah berkata, perubahan politik khususnya parti yang mengepalai kerajaan di Malaysia memerlukan lebih daripada poligam iaitu politik bergambar dalam membentuk persepsi rakyat.

“Tidak cukup setakat poligam saja sebaliknya lakukan perubahan sikap dan bersiap untuk saling ‘fine tuning’ serta semak dan imbang. Segera atur strategi teratur menjelang PRU14 yang kita jangkakan sangat hampir dan boleh jadi bila-bila masa daripada sekarang.

“Saya percaya Tun (Mahathir) sudah usaha sebaik mungkin merendahkan egonya manakala DSAI (Anwar Ibrahim) jelas sentiasa bersifat negarawan dalam menghadapi apa saja keadaan sekalipun masih terpasung akibat fitnah dan hasad manusia,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Mohd Hasbie Muda berkata, sifat berjiwa besar jelas dapat dilihat pada Tun Mahathir dan Anwar pada hari ini.

“Kedua-dua pemimpin ini bersedia melupakan sengketa lama demi kepentingan negara yang lebih mustahak,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, media sosial seperti Facebook juga dibanjiri komentar dan gambar berkaitan pertemuan Anwar dan Mahathir itu.

Menurut Moza Rella, sokongan Mahathir terhadap Anwar dengan turun ke mahkamah hari ini menyemarakkan api reformasi ke arah Malaysia Baru yang lebih telus dan adil.

“Gambar ni (Anwar bersalam dengan Mahathir) boleh bagi pada penyokong Najib dan penyokong Pas-Ikatan dalam Gagasan Sejahtera.

“Demam,” ujarnya.

TAGS