Tiada sebab Pendaftar Pertubuhan lengahkan penubuhan Bersatu

Tiada sebab Pendaftar Pertubuhan lengahkan penubuhan Bersatu

Tiada sebab Pendaftar Pertubuhan (RoS) melengahkan kelulusan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah dipohon ke pertubuhan itu pada 9 Ogos lalu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Muhyiddin bersama jawatankuasa protem Bersatu ketika mengemukakan permohonan penubuhan parti baharu pada 9 Ogos lalu.

Tiada sebab Pendaftar Pertubuhan (RoS) melengahkan kelulusan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah dipohon ke pertubuhan itu pada 9 Ogos lalu.

Setiausaha protem Bersatu Kamarulazman Habibur Rahman optimis berkata, beberapa hari lalu Ros mengesyorkan dua perkara mengenai dasar parti perlu diubah.

“Semuanya sudah okey. RoS suruh ubah dua perkara dan kita menepati apa yang dikehendaki.

“Pada dasarnya RoS tiada masalah untuk luluskan permohonan.

“Kita beri tempoh hingga 9hb ini kerana akan genap sebulan. Tambahan pula Menteri Dalam Negeri telah memberi jaminan pihak kerajaan tidak ada masalah mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu.

“Kita mengharapkan tiada lagi sebarang halangan bagi kelulusan penubuhan Bersatu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau juga memberitahu selepas parti itu diluluskan kelak ahli jawatankuasa protem yang baharu akan dilantik bagi mengukuhkan gerak kerja parti itu.

Beliau enggan menyatakan siapakah yang akan dilantik sebagai jawatankuasa protem ini.

‘Semalam kami telah berbincang dengan Tun Dr Mahathir berkaitan dengan penambahan ahli jawatankuasa protem yang akan ditambah dari masa ke semasa kepada jumlah yang lebih signifikan,” ujarnya yang enggan menyebut tokoh yang mungkin menjadi tulang belakang penggerak Bersatu kelak.

Kamarulazman juga menyebut bekas ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak lagi menyatakan pendiriannya untuk bersama dalam jawatankuasa yang dibentuk.

“Datuk Seri Khairuddin bersama kami berjuang untuk selamatkan Malaysia dari awal lagi sentiasa bersama kami.

“Kita sentiasa membuka pintu kepada beliau untuk sertai Bersatu.

“Jadi kita alu-alukan apa sahaja keputusan yang dibuatnya, kalau boleh kita mahu beliau menggerakkan hala tuju Bersatu,” ujarnya.

Mengenai perkembangan terkini Datuk Seri Shafie Apdal yang masih lagi tidak mengumumkan parti baharu di Sabah,khabar angin berkemungkinan beliau akan menyertai Bersatu.

“Datuk Seri Shafie masih kekalkan pendiriannya untuk menubuhkan parti baharu di Sabah.

“Pada hakikatnya beliau akan bersama dengan kita dalam falsafah perjuangan untuk selamatkan negara.

“Mungkin beliau akan tubuhkan parti sendiri di Sabah, kita tengok dan lihat apa yang berlaku.

“Bagi Bersatu sama ada jadi atau tidak (tubuh parti baharu di Sabah)…apa yang baik untuk barisan pakatan kita alu-alukan asalkan dapat membawa kemenangan bersama, kita akan sokong.

“Lagipun beliau memahami situasi politik di Sabah, kita pun sedang menunggu keputusan yang akan diumumkannya,” ujar Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) ini ketika ditanya mengenai perkembangan parti baharu yang bakal di pimpin Shafie di Sabah seperti yang diuar-uarkan selepas beliau mengumumkan keluar daripada Umno.

Malaysia Dateline turut menghubungi Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengenai perkara sama berkaitan parti baharu di Sabah yang akan dipimpin Shafie kelak.

Mukhriz hanya berkata,” itu (parti baharu di Sabah)  awak (wartawan) kena bertanya sendiri kepada Shafie. Saya pun tidak pasti perkembangan terkini beliau sama ada jadi atau tidak tubuh parti baharu di sana,” ujarnya ketika dihubungi.

Malah usaha Malaysia Dateline untuk mendapatkan respon Shafie juga gagal sejak seminggu ini.

TAGS