Tian Chua akhirnya bebas selepas jalani hukuman penjara, disambut meriah penyokong

Tian Chua bersalaman dengan para penyokong yang menyambut pembebasan beliau.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dibebaskan keluar daripada Penjara Kajang kira-kira jam 5.30 pagi tadi selepas ditahan selama sebulan di penjara Kajang.

Pembebasan beliau disambut presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan para pemimpin PKR kira-kira 500 meter daripada penjara Kajang.

Turut hadir puluhan penyokong beliau yang berhimpun sejak awal pagi.

Beliau kemudian melepaskan burung merpati sebagai simbolik pembebasan sebelum bersama para pemimpin dan penyokong bersarapan pagi di gerai berhampiran.

Menurut sumber, Tian Chua telah dihantar pulang ke kediamannya di Sentul oleh pihak penjara setelah dibebaskan namun mengambil keputusan untuk kembali semula ke Kajang setelah dimaklumkan kehadiran para pemimpin PKR dan penyokong di hadapan penjara.

Melepaskan burung merpati simbolik pembebasan.

Mahkamah Rayuan 29 September lalu mengarahkan Tian Chua menjalani hukuman penjara sebulan, selepas beliau membuat keputusan mengejut menarik balik rayuan terhadap sabitan melanggar arahan polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada 2012.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Mohtarudin Baki memerintahkan naib presiden PKR terbabit memulakan hukuman penjaranya di Penjara Kajang, hari itu juga.

Tian Chua disabitkan bersalah di bawah Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959 kerana menolak arahan meninggalkan Kompleks Pulapol di Jalan Semarak pada 29 April 2012, sehari selepas dia ditahan dalam perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Tian Chua melucutkan peguamnya, N Surendran dan menyuarakan kesediaannya untuk dipenjarakan.

Ketika berada dalam kandang tertuduh, Tian Chua berkata, dia ditahan bersama 500 peserta Bersih 3 pada 28 April 2012 dan dihantar ke Pulapol.

Antara para penyokong Tian Chua yang hadir memberi sokongan moral.

6.0
OVERALL SCORE
: 0.0
2 user votes x 9.0
CATEGORIES
TAGS