Tian Chua ketuai solidariti 1000 hari Anwar di penjara

Tian Chua ketuai solidariti 1000 hari Anwar di penjara

Solidariti memperingati 1,000 hari pemenjaraan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menghimpunkan ratusan penyokong bekas timbalan perdana menteri itu yang berkumpul di pintu masuk Parlimen sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka malam ini.

Para penyokong mula hadir pada jam 8.00 malam dan perarakan dari Parlimen menuju ke Dataran Merdeka bermula pada 8.30 malam.

Di Dataran Merdeka 1000 lilin dinyalakan bagi memperingati 1000 hari Anwar dipenjara.

Para pemimpin parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) kemudian memberikan ucapan pada majlis anjuran gerakan Kempen Bebaskan Anwar itu.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang baru dibebaskan daripada Penjara Kajang pada 27 Oktober, diberikan penghormatan mengetuai solidariti 1000 Hari Pemenjaraan Anwar kerana sanggup memilih untuk dipenjarakan atas dakwaan menceroboh Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol) di Jalan Semarak selepas ditahan kerana menyertai Himpunan Bersih di ibu kota.

Sebanyak 1000 lilin dinyalakan sebagai simbolik kepada desakan untuk pembebasan Anwar Ibrahim.

Ketika berucap,  Tian Chua berterima kasih dengan kerjasama diberikan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang
memberikan ruang untuk penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan mengadakan solidariti untuk Anwar pada malam ini.

“Terima kasih kepada pihak polis, DBKL dan saya tidak lupa kepada pegawai penjara kerana menunjukkan keprihatinan dan menjaga kebajikan seorang banduan seperti saya dan Anwar.

“Saya hanya dipenjara 30 hari apalah ertinya berbanding Datuk Seri Anwar pada hari ini sudah 1000 hari beliau dipenjarakan.Ini pengorbanan besar beliau untuk memastikan negara ini bebas daripada pemerintahan Najib Razak,” ujarnya.

Khalid Samad (kanan)  berpandangan Anwar dilihat sebagai seorang yang beristiqamah dan tidak lari daripada prinsip perjuangannya walaupun terpaksa dipenjarakan.

Tian Chua turut membacakan satu kenyataan bersama yang dibuat dikalangan ahli parlimen negara-negara Asean yang menyeru agar kerajaan Malaysia membebaskan Anwar pada hari ke 1000 pemenjaraannya.

Antara yang hadir dan memberikan pidato ringkas pada malam ini antaranya Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah, Adun Hulu Kelang Saari Sungip, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.

Turut hadir Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Adun Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar, Pengerusi Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan beberapa pemimpin NGO lain  yang turut sama berkumpul dengan penyokong dan ahli parlimen di pintu masuk bangunan  Parlimen.

Acara yang berlangsung sejam di Dataran Merdeka itu diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Dr Badrul Amin Baharon bagi memohon kesihatan Anwar dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Bacaan doa mengakhiri solidariti pembebasan Anwar dalam himpunan rakyat malam tadi.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0
CATEGORIES