Tidak perlu bubar Dun selesaikan mandat masih berbaki, kata AMK Selangor

Tidak perlu bubar Dun selesaikan mandat masih berbaki, kata AMK Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menegaskan langkah pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu tidak perlu dilakukan.

Timbalan Ketuanya, Zainol Abidin berkata, mandat kerajaan negeri yang masih berbaki lebih kurang dua tahun tidak harus dikorbankan.

“Selesaikan mandat masih berbaki, tidak perlu tergesa-gesa, gabungan pembangkang juga longgar,” katanya dalam forum di ibu negara hari ini.

Menurutnya, semua parti pembangkang perlu kembali kepada meja rundingan termasuk Pas.

“Biarlah pertemuan satu lawan satu dengan mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi ego masing-masing,” jelas Zainol lagi.

Walau bagaimanapun, Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi berkata, tiada jaminan Pas yang pernah melakukan pengkhianatan kepada Pakatan Rakyat tidak akan mengulang situasi sama.

“Timbalan Presiden Amanah telah mengeluarkan kenyataan bahawa Amanah sedia bekerjasama dengan Pas demi kepentingan rakyat.

“Pendirian Amanah cukup jelas. Kita hendak bekerjasama dengan semua pihak untuk menjatuhi Umno-BN. Itu jelas. Terpulang pada pihak Pas atau pihak-pihak lain. Sejauhmana mereka merasakan Amanah penting bagi mereka,” tegasnya.

Abbas berkata, Pas sebenarnya bertanggungjwab mencipta masalah dalam blok pembangkang sebelum ini.

“Yang mencipta polemik ialah Pas sehingga tertubuhnya Amanah dan Amanah didukungi aktivis-aktivis yang merupakan penggerak Pas pada masa lalu,” ujarnya.

Menurut beliau, sikap Pas yang mahu berkeras supaya pihak lain mengikut acuannya menunjukkan satu keegoan.

“Pas mesti bersetuju dengan syarat-syarat diletakkan dalam Pakatan Harapan,” katanya yang turut menegaskan mana-mana parti yang mengambil sikap bersendirian tidak akan ke mana.

Forum “Relevankah Dun Selangor Dibubar Awal?” di Restoran Pak Amjal hari ini turut membariskan ahli panel Ketua DAPSY Selangor, Eric Teh dan Pengarah ILHAM Centre, Hisommudin Bakar.

TAGS