Tidak perlu jawatankuasa baru atasi kos sara hidup, kata KP PAS

Tidak perlu jawatankuasa baru atasi kos sara hidup, kata KP PAS

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak rancangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai kos sara hidup rakyat.

Ini dianggap langkah simplistik selepas anggota kabinet mencadangkan rakyat melakukan 2 kerja bagi menampung kos sara hidup bulanan.

Ketua Penerangan PAS Nasarudin Hassan berkata, penolakan itu berasas kerana sebelum ini, sejak Januari 2014 hingga Mei 2015, kabinet sudah ada sebuah jawatankuasa khas untuk menangani kos sara hidup rakyat yang telah dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sewajarnya, pelbagai pelan dan polisi telah dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sekarang tiada lagi keperluan untuk menubuhkan pelbagai lagi jawatankuasa, makmal dan kajian.

“Sepatutnya, kerajaan mengambil tindakan drastik untuk memulihkan kos sara hidup rakyat dengan segera dan mesti memberikan kesan yang efektif bagi menangani cabaran ini.

“Jika jawatankuasa khas sebelum ini berfungsi dengan baik dan seluruh kabinet mementingkan agenda ini, sudah pasti pelbagai langkah telah diambil sejak tahun lalu, ” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata Nasrudin lagi, sepanjang tahun 2015 tiada sebarang langkah penting untuk meringankan kos sara hidup rakyat, sebaliknya kerajaan mengumumkan pelbagai pakej kenaikan harga dan kadar baru yang membebankan rakyat.

“Semua kadar tambang pengangkutan awam dan tol telah meningkat, disusuli dengan kenaikan pelbagai harga barangan serta perkhidmatan kesan daripada pelaksanaan GST.

“Malah, menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), memang sudah terdapat satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menangani kos sara hidup rakyat yang telah ditubuhkan sejak tahun 2011.

“Namun, jika kita menilainya sehingga hari ini, tiada impak yang berkesan untuk mengurangkan kos sara hidup tersebut.

“PAS tidak mahu dalam tempoh 2015 dan 2016 ini, kerajaan mengambil pelbagai peluang untuk menaikkan pelbagai harga dan kadar baru sebelum mengumumkan pelbagai ‘goodies’ pilihan raya pada tahun 2017 dan 2018 nanti.

“Ini adalah kitaran politik-ekonomi yang amat buruk dan ia sememangnya telah memperjudikan nasib rakyat,” ujarnya.

Sebagai rekod dua hari lalu Ahmad Zahid berkata, sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi akan ditubuh bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup yang turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian yang akan di pengerusikan oleh beliau sendiri.

Ahmad Zahid berkata menteri terlibat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Menerusi jawatankuasa ini, saya akan menjemput pengerusi NGO untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan sendiri luahan dan pandangan berhubung isu kos sara hidup,” katanya ketika beliau berucap pada majlis penutupan Deklarasi Prioriti 2016 – Ekonomi Keutamaan Kita.

TAGS