Tidak timbul isu Amanah curi kerusi

Tidak timbul isu Amanah curi kerusi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Isu Parti Amanah Negara (Amanah) mencuri kerusi mana-mana parti komponen dalam Pakatan Harapan tidak pernah timbul sama sekali, kata Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, cadangan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad agar parti itu bertanding 40 kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah berdasarkan kekuatan Amanah dan akan dibincangkan dalam Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Pengagihan kerusi akan ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Tidak ada mana-mana individu dari mana-mana parti boleh menentukan mana-mana kerusi kerana ia merupakan kesepakatan yang menjadi asas dalam pilihan raya umum,” katanya.

Baru-baru ini Khalid berkata Amanah mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi Parlimen, termasuk yang dimiliki oleh PKR dan Pas pada PRU14.

Khalid berkata pemilikan kerusi tradisi yang dipertahan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.

Justeru katanya, Amanah akan mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu ditandinginya pada mesyuarat pakatan Harapan dan PPBM pada bulan ini berhubung pengagihan kerusi.

Kenyataan Khalid itu mengundang kritikan Pas melalui Naib Presidennya Datuk Iskandar Samad yang menyifatkan Amanah sebagai parti yang suka mencuri kerusi rakan-rakan.

Nizar bagaimanapun berkata, kenyataan Khalid itu belum menjadi keputusan rasmi Amanah dan meminta pihak lain tidak membuat andaian yang salah.

“Kenyataan yang dikeluarkan bukanlah melambangkan kedudukan sebenar Amanah,” katanya ketika ditemui di program penyampaian sumbangan bantuan persekolahan di Pusat Khidmat Peduli Rakyat Sungai Rokam, Gopeng kelmarin.

Turut hadir dalam program sumbangan bantuan persekolahan tersebut ialah Ketua Amanah Parlimen Gopeng Badrin Khalid serta Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye.

 

TAGS