Tidak tolak bauksit dilombong sepanjang tempoh moratorium, kata menteri

Tidak tolak bauksit dilombong sepanjang tempoh moratorium, kata menteri

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini, tidak menolak kemungkinan berlaku perlombongan haram bauksit sepanjang pelaksanaan tempoh moratorium, hampir setahun lalu.

 

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini, tidak menolak kemungkinan berlaku perlombongan haram bauksit sepanjang pelaksanaan tempoh moratorium, hampir setahun lalu.

Beliau berkata perkara itu berpandukan jumlah simpanan bauskit yang tidak menunjukkan penurunan ketara dan juga berdasarkan pemerhatian udara menggunakan helikopter selama 40 minit di sekitar daerah ini, hari ini.

“Saya cukup yakin berlaku perlombongan haram kerana semasa tinjauan udara di semua kawasan lombong, walaupun tiada lori yang bergerak, masih ada simpanan stok bauskit di mana-mana.

“Sedangkan, sejak tempoh moratorium dilaksanakan kita sudah eksport 5.2 juta tan metrik bauksit. Sebelum bermula (moratorium) ada (simpanan stok bauksit) lima juta tan metrik juga,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Junaidi menambah kegiatan perlombongan haram itu berlaku disebabkan kekurangan pegawai penguatkuasaan bagi memantau aktiviti itu setiap masa, sedangkan kawasan perlombongan itu adalah besar.

Beliau memaklumkan bagi fasa pengosongan semua simpanan bauskit di luar pelabuhan Kuantan, setakat 6 Dis lalu, sebanyak 2.95 juta tan metrik tan masih belum dieksport keluar dengan kebanyakkannya berada di kawasan Felda Bukit Goh.

“Kegagalan proses mengosongkan simpanan stok bauksit di dalam tempoh yang ditetapkan adalah disebabkan ketidakupayaan pengusaha mematuhi semua syarat bagi memindahkan bauksit itu ke Pelabuhan Kuantan,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh moratorium yang sepatutnya tamat pada 31 Dis, Wan Junaidi berkata status sama ada tempoh itu akan diteruskan atau ditamatkan hanya akan dibincangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Wan Junaidi berkata Kabinet bagaimanapun telah bersetuju agar pembayaran royalti bauksit dijelaskan sebelum permit import (AP) bauksit dikeluarkan bagi mengelakkan ketirisan royalti yang dialami kerajaan negeri Pahang sebelum ini.

“Kerajaan negeri maklum dalam penilaian mereka sepatutnya boleh mengutip RM180 juta royalti, tetapi hanya peroleh RM50 juta, bermaksud ada yang eksport tanpa bayar. Kita tetapkan mereka bayar dahulu… sama ada guna atau tidak AP itu, terpulang kepada mereka,” katanya.

Pada 15 Jan lalu, Wan Junaidi mengumumkan keputusan Kabinet melaksanakan moratorium terhadap perlombongan bauksit di Kuantan dan setakat ini, tempoh berkenaan telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum dijadualkan berakhir tahun ini.

Mengulas tinjauannya hari ini, Wan Junaidi berkata beliau berpuas hati dengan tindakan pihak terlibat termasuk Kuantan Port Consortium Sdn Bhd yang telah membelanjakan RM30 juta bagi tujuan penambahbaikan proses pengangkutan bahan mineral itu.

Menyifatkan bandar Kuantan selepas pelaksanaan moratorium sebagai ‘lebih cantik dan elok’, Wan Junaidi berharap semua pihak yang terlibat dalam perlombongan bauksit telah belajar daripada kesilapan mereka dahulu.

“Kita berterima kasih pada pihak pelabuhan yang ambil tindakan walaupun mereka rugi dari segi operasi sepanjang tempoh moratorium. Semua pihak kena belajar, satu pengajaran pahit, hampir setahun,” katanya.

TAGS