Timbalan dan Naib Ketua Pemuda Pas bertikam kerana silat Melayu

Timbalan dan Naib Ketua Pemuda Pas bertikam kerana silat Melayu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tidak seperti kebiasaan dengan imej berkopiah, berbaju Melayu atau berjubah, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Mohd Khalil Abdul Hadi tampil berbaju Melayu lengkap dan bertengkolok persis panglima Melayu ketika mempromosikan persilatan Melayu dalam web rasmi sayap pemuda Pas itu.

Artikel itu turut memaparkan aksi sama Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Khairil juga ialah penulis artikel bertajuk “Warisan Bangsa Mempertahan Agama, Negara & Jati Diri”.

Anak presiden Pas, Mohd Khalil segak menggayakan pakaian hulubalang Melayu.Menurut Khairil, ilmu persilatan adalah warisan Bangsa Melayu turun temurun dan sejenis seni mempertahankan diri yang diakui seluruh dunia sebagai seni warisan yang ulung serta kaya dengan budaya, adat serta gaya ketimuran.

“Kemasyhuran ilmu persilatan Melayu berada di puncak kegemilangannya ketika Zaman Kesultanan Melaka terutamanya ketika Tun Perak menjadi Bendahara serta Hang Tuah serta sahabat-sahabatnya menjadi Laksamana serta penjaga Empayar Melaka yang berteraskan Hukum Islam di abad ke-15,” tulis beliau.

Namun beliau kesal kerana kini anak-anak Melayu kurang berminat dengan seni serta budaya sendiri.

“Jika tidak kita anak-anak bangsa mengangkat maruah kita sendiri, siapa lagi yang mahu menjunjung keagungan seni serta ilmu bangsa sendiri seperti ilmu persilatan ini,” katanya.

Menurut beliau, Islam tidak melarang ilmu mempertahankan diri dan setiap bangsa dan budaya mempunyai ilmu mempertahankan diri mereka sendiri.

“Orang Melayu Islam seharusnya berbangga dengan ilmu persilatan Melayu. Asalkan tidak melakukan perkara-perkara khurafat dan syirik, setiap ilmu mempertahankan diri harus dipelajari dengan tujuan kebaikan, bukan untuk mendabik dada, berlaku kejam serta menindas orang lain,” katanya.

Pemuda Pas, tambah beliau mahu mengangkat kembali kegemilangan ilmu silat Melayu disamping mempelajarinya untuk tujuan kebaikan, kesenian dan mempertahankan diri.

“Setidak-tidaknya dapat mengingatkan kita kembali sejarah terbinanya tanah air kita dan mengenang kembali pahlawan–pahlawan serta wira–wira kita yang mempertahankan tanah air kita, agama dan bangsa  dengan ilmu kesenian ini hingga ke akhir nyawa mereka,” katanya yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda Pas.

Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh turut menyokong usaha Khalil dan Khairil mempromosikan silat Melayu.

TAGS