Tindakan Jamal Sekinchan sahkan Umno amal politik wang, kata Rais Yatim

Tindakan Jamal Sekinchan sahkan Umno amal politik wang, kata Rais Yatim

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penasihat kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan pengakuan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos untuk memberi wang tunai berjumlah RM1,000 seorang kepada 600 perwakilan bahagian itu mengesahkan parti itu mengamalkan politik wang.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan itu berkata, tindakan itu sekali gus memalukan Umno yang dilabel negatif sebahagian besar rakyat sekarang.

“Apa yang dilakukan Jamal seperti terma dalam politik wang, korupsi salah guna kuasa, membazir dan membeli pengaruh.

“Apabila Jamal membuat pengumuman itu, dengan sendirinya dia membuat kepastian tentang apa yang diserlahkan masyarakat terhadap UMNO.

“Ini merunsingkan saya jika tauladan ini dikemukakan kepada khalayak. UMNO akan sentiasa berada dalam kancah negatif khasnya mereka yang berada dalam barisan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini, lapor Astro Awani.

Rais mengulas pengumuman Jamal yang akan mengagihkan wang RM1,000 kepada setiap ketua cawangan dan termasuk 646 perwakilan Umno.

Bagaimanapun Jamal di dalam sebuah portal dilaporkan berkata, pemberian wang itu adalah hasil sumbangan pihak tertentu dan tabungan yang dibuat mereka sebelum ini.

Jelasnya, sumbangan tersebut diperolehi bagi tujuan lawatan sambil belajar ke Dubai yang sepatutnya dijadualkan pada awal tahun ini.

Dalam pada itu, melalui twitternya, Rais turut mengecam tindakan Jamal itu.

 

Rais Yatim mengecam Jamal melalui twitternya.

 

 

TAGS