Tingkatkan wang sara hidup peneroka antara tawaran Pakatan Harapan

Tingkatkan wang sara hidup peneroka antara tawaran Pakatan Harapan

Pakatan Harapan akan meningkatkan wang sara hidup setiap peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sehingga RM2,000 berbanding antara RM1,000 hingga RM1,500 pada masa ini.

Pakatan Harapan akan meningkatkan wang sara hidup setiap peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sehingga RM2,000 berbanding antara RM1,000 hingga RM1,500 pada masa ini.

Tawaran tersebut antara lima resolusi yang dibentangkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli semasa Konvensyen Warga Felda 2017 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor.

Menurut Rafizi, penambahan tersebut bagi menampung kos tanaman sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil sekaligus meringankan beban kos sara hidup dan hutang warga Felda.

“Selepas kelapa sawit membuahkan hasil dari tujuh hingga 15 tahun, wang sara hidup ini boleh dibayar semula dengan potongan minimum RM800 sebulan sehingga selesai tanpa dikenakan faedah,” ujarnya.

Pakatan Harapan turut bakal mewujudkan agensi pemantauan yang adil bagi menyemak semula sebarang aduan peneroka berhubung Kadar Perahan Minyak atau Oil Extraction Rate (OER) supaya dapat dinilai secara telus dan tidak menyulitkan mereka.

Selain itu, mekanisme baharu untuk berkongsi tanah warisan juga akan dilaksanakan bagi membolehkan tanah peneroka diurus melalui perkongsian keuntungan tanpa memecahkan tanah warisan.

Jelasnya, anak waris dan Felda akan menandatangani satu Kontrak Perkongsian Pengeluaran bagi memastikan tanah warisan dipegang dalam akaun amanah untuk anak waris.

“Tanah akan diurus oleh Felda dan pendapatan akan dibahagikan. Sepuluh peratus daripada pendapatan Felda akan dibayar sebagai bayaran royalti kepada anak waris.

“Kemudian, baki pendapatan dibayar kepada Felda untuk menampung kos operasi dan jika terdapat keuntungan ia akan dikongsi bersama antara Felda dengan waris berdasarkan saiz tanah warisan,” jelasnya.

Heret Isa Samad

Konvensyen yang dihadiri pemimpin tertinggi PKR, Amanah dan DAP itu turut menyaksikan keutamaan Pakatan Harapan untuk mengukuhkan pengurusan dan tata kelola Felda.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dialami Felda ketika Tan Sri Isa Samad menjadi pengerusi agensi kerajaan persekutuan berkenaan pada 2011 sehingga 2017.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan ketika membacakan resolusi itu berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan jika pengundi memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada masa sama, Pakatan Harapan, ujarnya, akan membatalkan semua transaksi yang tidak telus termasuk pelaburan dalam PT Eagle High Plantation dan pinjaman wang dari Putra Star Investment.

“Kita juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad dari FGV kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF),” tegasnya.

Resolusi keempat pula membangunkan bandar baru Felda di seluruh negara dan kelima menubuhkan Universiti Felda untuk memajukan tahap pendidikan generasi muda Felda.

“Dengan pelaksanaan pelan keempat dan kelima ini, taraf hidup dapat ditingkatkan dan mewujudkan lebih peluang pekerjaan serta perniagaan di kawasan Felda.

“Selain itu, dengan penubuhan universiti ini, tumpuan kepada bidang berkaitan dengan industri kelapa sawit, kejuruteraan, pertanian, bio-teknologi dan perniagaan akan diterapkan,” jelas Rafizi lagi.

Ramai pemimpin Amanah turut hadir pada Konvensyen Warga Felda di Shah Alam.

 

TAGS