TLDM ke Myanmar: Kawal  pelarian, sengketa melalui jalan laut bukan berperang

TLDM ke Myanmar: Kawal pelarian, sengketa melalui jalan laut bukan berperang

Cadangan agar Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) ditugaskan ke perairan antarabangsa Teluk Bengal akan membantu pertahankan sempadan negara dari dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI) akibat persengketaan Rohingya bukannya untuk berperang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tariq Ismail berkata, ia bertujuan membantu menjamin keselamatan pelarian dari persengketaan tersebut melalui jalan laut.

“Tindakan ini akan menjamin bahawa pelarian Rohingya ini didokumenkan iaitu mereka diakui sebagai pelarian dan didaftar dengan UNHCR.

:Ini penting kerana Malaysia tertakluk kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 dan bertanggungjawab melindungi pelarian serta menjamin hak asasi manusia diberi, walaupun terdapat had ke atas perkhidmatan asas termasuklah hak bekerja, kesihatan dan pendidikan.

“Sebaliknya, implikasi migrasi besar-besaran yang tak terkawal adalah percanggahan sosial di kalangan masyarakat tempatan dan kebencian terhadap masyarakat Rohingya yang sememangnya teraniaya.

“Oleh itu, sebarang tindakan melibatkan Tentera Laut Di Raja Malaysia akan memastikan pelarian Rohingya tidak dieksploitasi dan tidak diperdagangkan secara haram ke Malaysia seterusnya menyebabkan lebih masalah sosial di Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai tweet Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir yang menyebut: “Saya desak Kerajaan Malaysia hantar saja TLDM ke Teluk Bengal. Itu saja bahasa yang Myanmar faham. Allah selamatkan #Rohingya”.

Tweet Mukhriz itu sebaliknya ujar beliau telah disalahertikan dan menaikkan kemarahan sesetengah pihak.

twit mukhriz

Menurut Ketua Bahagian Bersatu Sri Gading ini lagi, rakyat perlu faham peranan utama angkatan tentera negara ini, sebagaimana di negara lain, adalah untuk pertahankan negara dan menghulurkan bantuan kemanusiaan di mana perlu.

“Ianya bukan berperanan untuk berperang setiap kali terdapat persengketaan.

“Diharapkan juga, dengan tindakan ini, akan mengilhamkan misi keamanan PBB bagi menyelamatkan nyawa mangsa-mangsa persengketaan dan memastikan mereka ditempatkan di bawah jagaan UNHCR di negara-negara penerima.

“Mereka tidak patut dibiarkan menjadi mangsa pemerdagang manusia dan junta ketenteraan yang nekad menghapuskan mereka,” terangnya.

Beliau berharap usaha-usaha Kerajaan Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan asas seperti hak bekerja, kesihatan dan pendidikan akan dipercepatkan sekaligus menenangkan kegusaran rakyat.

Saranan UNHCR sewaktu Persidangan Antarabangsa berkenaan Rohingya 2017 yang diadakan di Putrajaya pada bulan Mac 2017, ujarnya lagi, patut diakui bagi membantu menangani cabaran sosial akibat permasalahan Rohingya, terutama memandangkan keadaan semasa.

“Islam mengajar kita bahawa pembunuhan itu membunuh kemanusiaan. Makanya jika kita benar-benar berperikemanusiaan seperti yang kita sering war-warkan, kita wajib bertindak,” ujarnya.

CATEGORIES
TAGS