Tohmahan ekonomi negara tidak berdaya saing dibidas Adun BN

Tohmahan ekonomi negara tidak berdaya saing dibidas Adun BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Anggota Dewan Undangan Negeri (BN-Sungai Panjang) Budiman Mohd Zohdi hari ini membidas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menuduh tahap ekonomi negara tidak berdaya saing sedangkan Bajet Selangor 2017 juga adalah bajet defisit.

Beliau berkata tuduhan itu tidak relevan kerana jumlah hutang awam negara sebanyak RM655.7 bilion atau kadar 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat Jun lepas masih munasabah dan dibenarkan.

“Kenyataan yang dibuat menteri besar semasa membentangkan bajet menyatakan Putrajaya gagal menangani masalah struktural adalah satu tuduhan sedangkan Bajet Selangor 2017 juga adalah bajet defisit.

“Kerajaan negeri turut menuduh ekonomi negara tidak berdaya saing sedangkan kerajaan negeri sendiri tidak mendedahkan maklumat terperinci (mengenai inisiatif yang dicadangkan)… dan hanya ‘setengah masak’,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Budiman turut menyifatkan Bajet Selangor 2017 sebagai bajet ‘business proposal’ dengan memberi contoh insentif kesihatan yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat telah diberikan kepada pihak lain.

“Persoalan saya… kenapa sejumlah wang rakyat nak diberi kepada sebuah syarikat bernama Selgate (Corporation) untuk menguruskan skim kesihatan itu. Ini bajet ‘business proposal’ bukan untuk rakyat,” katanya.

Semasa membentangkan Bajet Selangor 2017, Azmin mengumumkan ‘Skim Peduli Sihat’ yang akan menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250,000 keluarga atau satu juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah. Skim itu diuruskan Selgate Corporation selaku pentadbir jagaan kesihatan.

Terdahulu, Budiman semasa membahaskan bajet berkenaan pada persidangan itu menolak Bajet Selangor 2017 yang dibentangkan pada Isnin lepas kerana menyifatkan bajet itu sebagai terlalu populis.

TAGS