Toleransi kaum penyair Usman Awang

Toleransi kaum penyair Usman Awang

 

Usman Awang berbangga dengan Johornya.

Ketika berada di tengah para sahabat lama dan baru di Majlis Anugerah Integrasi Nasional Penyair Usman Awang di Ibu Kota minggu lalu, saya seperti terdengar suara dan bicara Allahyarham di mana ketika hayatnya sentiasa meniupkan kemanusiaan dan toleransi antara kaum.

Dengan bahasa puitisnya yang sangat merdu dan indah, Sasterawan Negara itu menjadi tokoh yang dikenang selamanya kerana perjuangan kemanusiaan dan toleransi kaum yang sentiasa segar menerusi karyanya. Inilah keistimewaan Usman Awang.

Tengah hari itu majlis yang diadakan oleh Yayasan Usman Awang dihadiri oleh ramai sasterawan, tokoh intelektual, budayawan dan para sahabat Allahyarham.

Pada majlis tersebut, Sasterawan Negara A. Samad Said menerima ‘Anugerah Integrasi Nasional Penyair Usman Awang’ sebagai pengiktirafan terhadap usaha A. Samad Said yang juga selama ini sentiasa menyiramkan nilai-nilai kemanusiaan dalam karyanya.

Usman AwangAnugerah itu disampaikan oleh Dr. Syed Husin Ali bagi pihak Yayasan Usman Awang, diiringi tepuk gemuruh yang hadir.

Antarannya Prof. Datuk Dr. Muhamad Haji Saleh, Prof. Siti Zainun Ismail, Dr. Mazlan Embong, Dinsman dan para sahabat dari Paksi yang lain.

Pada majlis Anugerah Integrasi Nasional itu Haslina, puteri Allahyarham turut hadir dan menyampaikan ucapan.

Teringat kembali akan keluarga Allahyaram dan isterinya, Hasnah Din, meraikan perkahwinan saya dengan hidangan masakan Johor dengan segala ramah tamahnya.

Almarhum Usman dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor meninggal dunia pada 29 November 2001.

Bayangkan bagaimana anak nelayan yang lahir dalam lingkungan suasana kampung dengan segala tradisinya, apabila dewasa dan bekerja sebagai polis dan kemudian sebagai wartawan, seterusnya menjadi pengarah dan sasterawan ternama memiliki pemikiran yang sangat terbuka, menjauhkan diri dari sifat perkauman.

Namun begitu sajaknya tetap merdu, malah romantis, walaupun berbicara mengenai kepelbagaian kaum. Malah beliau memperkatakan dengan jujur akan bangsaya sendiri dalam sajaknya ‘Melayu’.

Allahyarham mengkrittik, menyindir, tetapi tetap menyayangi bangsanya.

Ketika berada di majlis pada petang itu, memandang kawan-kawannya yang hadir, termasuk kaum Tionghua dan, malah ada yang membacakan sajaknya dalam bahasa Cina dan Tamil, saya terkesan bahawa karya Allhyarham Usman Awang benar menjiwai bangsa Malaysia.

Sebagai sasterawan yang sensitif terhadap apa yang berlaku pada negara dan rakyat, Usman lantang memperjuangkan keadilan, demokrasi, keadilan sosial, sangat bersimpati dengan si miskin seperti sajaknya ‘Pak Utih’ dan lain-lain.

Almarhum merasakan denyut nadi rakyat – petani, buruh yang bermandi keringat sekujur tubuh kerana mencari nafkah. Bahkan beliau menyindir golongan elite yang hidup bermewah-mewah.

Allahyarham Usman sama sekali tidak memisahkan diri dengan rakyat. Bahkan sentiasa bersama mereka.

Menurut saya, ini juga hasil pengaruh perjuangan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) yang memperjuangkan kemerdekaan dan keadilan sosial.

Semoga akan muncul lagi tokoh sasterawan yang sentiasa berada di tengah rakyat, seperti Almarhum dan juga A. Samad Said yang menerima Anugerah Integrasi Nasional pada petang itu.

Tahniah semuanya.

Ini antara puisi Allahyarham Usman Awang

 

ANAK JIRAN TIONGHUA

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar
Kilat matanya memanggil Iskandar
Siapa lalu siapa berkaca
Melihat keduanya bergurau senda

 
Anak Tionghua kelahirannya di sini
Di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi
Ia bisa bercerita untuk siapa saja
Di sini tanahnya dan ibunya bersemadi

 
Lihat mereka sedang berebutan pistol mainan
He, jangan berkelahi
Ah, anak-anak dengan caranya murni
Berkelahi untuk nanti bermain kembali

 
Lihat mereka tertawa riang
Ah Chew tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus ke baju
Sekarang mereka menunggu aiskrim lalu

 
Bumi tercinta resapkan wahyumu
Jantung mereka ialah langitmu
Darah mereka adalah sungai
Nafas mereka adalah udaramu.

TAGS