TPPA: Akses pasaran perniagaan jadi lebih besar, kata  Mustapa

TPPA: Akses pasaran perniagaan jadi lebih besar, kata Mustapa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perniagaan di Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana kini menunggu peluang akses pasaran yang lebih besar menerusi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik yang baru dimeterai.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berkata industri tekstil, elektrik dan elektronik, minyak sawit dan getah juga antara sektor yang berminat mengeksploitasi peluang yang muncul daripada pembukaan pasaran yang lebih besar serta tarif yang lebih rendah yang ditawarkan oleh TPPA.

“Kami yakin akses pasaran sangat penting bagi Malaysia, terutama dengan negara yang kita tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Akses pasaran merupakan antara sebab kita menyertai TPPA,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas menandatangani perjanjian itu.

Empat negara terbabit menyumbang kira-kira 74 peratus daripada saiz pasaran blok ekonomi TPPA, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira AS$21 trilion pada 2014.

Ditanya mengenai sama ada sesetengah negara seperti Malaysia dan Vietnam akan memperoleh manfaat yang lebih besar berbanding anggota TPPA lain, beliau berkata terdapat pelbagai pandangan dan kajian mengenai perdagangan perjanjian yang mendakwa manfaatnya sama ada terlalu kecil atau memihak kepada negara tertentu.

“Pertama, isunya terdapat model dan kajian berdasarkan andaian. Bagi Malaysia, kita telah berbincang dengan tokoh dalam industri tekstil, elektrik dan elektronik sebagai contoh, serta kalangan pengeluar produk minyak sawit dan getah

“Kami telah berbincang dengan tokoh perniagaan, dan mereka mahukan manfaat yang terhasil daripada TPPA dari segi akses pasaran.

“Kerajaan Malaysia telah menimbang pendapat akar umbi, pengusaha dan pemimpin industri, dan mereka memberi sokongan yang baik.

Selain akses pasaran, TPPA juga merangkumi tarif, tahap ketelusan dan tadbir urus serta kerjasama, yang mencakupi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

Mengenai proses pengesahan, Mustafa berkata undang-undang Malaysia tidak memerlukan sebarang perjanjian perdagangan dibawa ke Parlimen untuk kelulusan atau pengesahan

Dua belas anggota pakatan perdagangan itu yang terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam, mempunyai dua tahun untuk mengesahkan perjanjian itu sebelum ia dikuatkuasakan pada 2018.

“Bagaimanapun, berdasarkan pentingnya perjanjian itu, selain sangat kontroversi di Malaysia dan di banyak negara lain, kami memutuskan untuk membentangkannya di Parlimen seperti yang dilakukan minggu lepas,” katanya.

“Kami telah mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan membawanya ke Parlimen walaupun ia bukanlah suatu keperluan undang-undang, dengan tujuan untuk diperdebatkan dan dibincangkan bagi memperoleh pandangan yang lebih baik daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Usul perjanjian TPPA itu diluluskan dengan sokongan besar di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, katanya.

Mustapa menegaskan bahawa Malaysia mungkin satu-satunya negara dalam kalangan 12 negara yang baru sahaja mendapat kelulusan dan pengesahan, walaupun undang-undang tidak memerlukan kerajaan berbuat demikian.

Bagaimanapun, cabaran masih wujud memandangkan Malaysia perlu melaksanakan proses meminda beberapa undang-undang, dan undang-undang berkenaan perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, katanya.

Malaysia perlu meminda 26 undang-undang dan peraturan mengenai buruh dan hak harta intelek bagi memenuhi keperluan TPPA.

TAGS