TPPA: MP Amanah bimbang kesan kepada rakyat miskin dan industri sawit

TPPA: MP Amanah bimbang kesan kepada rakyat miskin dan industri sawit

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Amanah hari ini terus konsisten menyatakan penolakan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-pasifik (TPPA) dengan membangkitkan kebimbangan mereka terhadap golongan miskin dan masa depan industri sawit negara.

Menurut  Datuk Raja Bahrin Shah (Amanah-Kuala Terengganu), rakyat miskin termasuk komuniti nelayan pesisir pantai di negara ini dikhuatiri menjadi kelompok mangsa paling utama menerima kesan daripada perjanjian global diketuai Amerika Syarikat (AS) itu.

“Bagaimana nasib nelayan kita? Pendapatan mereka pada masa ini hanya RM414 sebulan iaitu naik RM14 dalam tempoh 10 tahun,” dedahnya.

Sehubungan itu, keikhlasan kerajaan untuk membahaskan TPPA mulai semalam, ujarnya, dilihat sebagai meragukan memandangkan langkah tersebut sebelum ini tidak pernah dilaksanakan.

“Mengapa lima tahun lepas kerajaan tidak berunding? Ini meragukan (apabila) kerajaan akan mengadakan kursus dan taklimat. Persoalannya, kenapa baru sekarang? Ini persediaan tidak munasabah” ujarnya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau turut menyifatkan TPPA lebih memberi manfaat kepada golongan korporat pada ketika Malaysia bukan tergolong dalam negara berstatus maju.

Membandingkan peluang rakyat negara ini bekerja di Dubai, Raja Bahrin menambah kerajaan tiada ketelusan kerana Dubai tanpa menyertai TPPA masih mampu menarik pelaburan dan tenaga mahir dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sementara itu, Dr Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) mempersoalkan sejauhmana perjanjian perdagangan bebas (FTA) tersebut memberi faedah kepada kemajuan sektor perindustrian berkaitan kelapa sawit.

“Jangan terlalu terpesona (dengan TPPA). Apakah industri kelapa sawit yang besar di negara ini mendapat lonjakan lebih jauh? Di mana kita mendapat kelebihan melalui TPPA untuk melonjakkan industri kelapa sawit?” soal bekas Jawatankuasa Pas Pusat itu.

Beliau menambah manfaat TPPA kepada negara dalam sektor pertanian terutamanya turut menimbulkan persoalan ekoran sejumlah peralatan dan jentera tani adalah dari China.

Selain itu, Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) pula membangkitkan isu berkaitan faktor geopolitik Malaysia sebagai peserta TPPA dalam kalangan anggota Asean serta kepentingan keselamatan strategik negara.

TAGS