TPPA: Ratifikasi disempurnakan menjelang 2018

TPPA: Ratifikasi disempurnakan menjelang 2018

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia komited untuk menyempurnakan proses ratifikasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjelang 2018.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk J. Jayasiri berkata perjanjian perdagangan itu akan berkesan jika sekurang-kurangnya enam anggota yang mewakili 85 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 12 negara memeterainya, dapat menyempurnakan proses ratifikasi itu.

“Kita masih dalam proses meminda undang-undang (berkaitan). Malah 18 undang-undang itu sudah dikenal pasti setakat ini,” katanya pada sidang media selepas Wacana TPPA King’s College London anjuran alumni universiti itu di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas prospek TPPA berikutan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) November ini, Jayasiri menegaskan beliau enggan membuat sebarang spekulasi.

Menurutnya, ada laporan menyatakan bahawa AS berhasrat meratifikasi TPPA dalam tempoh pemerintahan presiden sekarang.

Malaysia, tegasnya, akan meneruskan program berkaitan bagi membolehkan kalangan perniagaan memahami peluang yang terbentang dalam perjanjian perdagangan berkenaan.

“Pengeksport kini bersedia untuk menerima (pelaksanaan) perjanjian itu,” katanya.

Jayasiri turut menyifatkan TPPA itu sebagai satu kejayaan kerana turut mengambil kira kebimbangan disuarakan Malaysia mengikut keperluan sewajarnya bagi membolehkan negara itu meneruskan agenda pembangunan dan objektif sosial.

TAGS