TPPA tidak akan dimansuhkan sepenuhnya, perjanjian baru memihak AS

TPPA tidak akan dimansuhkan sepenuhnya, perjanjian baru memihak AS

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dijangka tidak terkesan sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) gagal diteruskan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (Seed), Datuk Dr A.T. Kumararajah.

Beliau berkata ketika ini Malaysia mempunyai lebih daripada 160 perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara lain, dan TPPA hanya satu daripadanya.

“Ia tidak akan banyak berubah jika TPPA dibatalkan, dan saya berpendapat banyak PKS Malaysia tidak akan terkesan dalam jangka pendek,” katanya di luar taklimat media mengenai Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawanan 2017 di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu dipilih, Donald Trump mengumumkan pada Isnin, bahawa AS akan menarik diri daripada TPPA pada hari pertama beliau memulakan tugas.

Sementara itu, Kumararajah menjangkakan pertumbuhan PKS akan mencecah enam peratus tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur meningkat antara empat dan 4.5 peratus pada 2016.

“Mengikut Pelan Induk PKS 2012-2020, jika anda mahu KDNK negara meningkat sebanyak enam peratus, sektor PKS perlu berkembang pada sekitar 30 hingga 35 peratus lebih tinggi daripada pertumbuhan negara,” katanya.

Melangkah maju, beliau yakin sektor PKS 2017 akan mencapai kadar pertumbuhan enam peratus, pencapaian sama pada 2016, berbanding pertumbuhan tujuh peratus pada 2015.

“Pasaran mata wang mengalami penurunan ketika ini, dan Malaysia tidak terkecuali…namun kebanyakan PKS telah melaksanakan lindung nilai,” katanya.

Manakala pengurus aset terbesar dunia, BlackRock pula berpendapat TPPA tidak akan dimansuhkan sepenuhnya.

Pengarah Urusan, Ketua Strategi Platform Pelbagai Aset Asia Pasifiknya Steven Moeller berkata, terdapat kemungkinan akan ada perjanjian perdagangan bebas lain yang sama dengan TPPA yang akan memihak kepada Amerika Syarikat (AS).

“Saya rasa masih ada kemungkinan. Ia barangkali bukan seperti TPPA tetapi mungkin dalam satu bentuk rundingan lain yang boleh berlaku. Jadi ia tidak semestinya dimansuhkan sepenuhnya,” kata Moeller selepas taklimat media mengenai ‘A Look at Investment Markets Ahead’ di sini, hari ini.

Moeller berkata demikian sebagai mengulas mesej video presiden AS yang baru dilantik Donald Trump yang menyatakan hasrat apa yang beliau mahu lakukan apabila mengambil alih pentadbiran pada Januari 2017.

Trump berkata AS akan menarik diri daripada TPPA pada hari pertama beliau di White House. Perjanjian perdagangan itu yang dimeterai oleh 12 negara, mencakupi 40 peratus daripada ekonomi dunia.

Moeller berpendapat adalah lebih baik sekiranya ada jalan untuk terus menghidupkan TPPA dan merundingkan perjanjian perdagangan bebas.

“Saya rasa Asia, terutamanya Malaysia, akan mendapat manfaat daripada perdagangan lebih bebas dengan penerusan TPPA dan penglibatan AS. Apa-apa batasan bagi perdagangan bebas akan menjejaskan pasaran sedang pesat membangun,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, katanya, beliau amat optimistik dengan Asia memandangkan petanda positif pemulihan semula dan kemajuan berterusan dalam pembaharuan semula.

“Dengan kesan dasar monetari mereda, kami melihat kepada dasar fiskal untuk menyediakan dorongan pertumbuhan,” katanya.

Moeller berkata eksport semakin meraih momentum dan pembaharuan yang meningkatkan pertumbuhan struktur sedang dilaksanakan di Asia.

Beliau berkata prospek pengembangan fiskal AS, peningkatan inflasi dan kenaikan kadar faedah Sistem Rizab Persekutuan meningkatkan unjuran bagi sektor komoditi dan kemungkinan meletakkan tekanan kepada dolar AS.

TAGS