Tragedi MH17: Gesa Najib segera bertindak

Tragedi MH17: Gesa Najib segera bertindak

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Perdana Menteri mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai 2014.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail 1Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Perdana Menteri mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai 2014.

“Berdasarkan bukti forensik yang cukup jelas ini, saya menggesa Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak untuk segera mengumumkan langkah Kerajaan yang seterusnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, pihaknya juga akan membawa isu ini dalam sidang Parlimen akan datang demi memperjuangkan keadilan buat keluarga yang terlibat dalam nahas tersebut.

“PKR berpendirian bahawa dapatan muktamad Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) merupakan bukti kukuh yang membolehkan prosiding kehakiman dimulakan ke atas mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan tragedi ini,” tegasnya.

Semalam, JIT yang diketuai oleh Belanda mendedahkan MH17 telah ditembak jatuh puak pemberontak pro-Rusia menggunakan peluru berpandu BUK 9M38 dari sebuah lokasi di Ukraine yang dikawal pemberontak.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia terkorban selepas pesawat berkenaan ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Dalam hal berkaitan, Najib melalui laman rasmi Facebook memberitahu Malaysia mahu tindakan yang tegas diambil ke atas mereka yang terlibat dalam jenayah menjatuhkan pesawat MH17.

“Mereka mestilah dibawa ke muka pengadilan. Saya mahu negara yang terlibat untuk mengadakan perbincangan mengenai langkah selanjutnya yang perlu diambil kerana kita telah berjanji untuk menuntut keadilan bagi keluarga mangsa MH17,” ujarnya dalam status yang dimuat naik tengah malam tadi.

Tambah Najib lagi, langkah berkenaan perlu dilakukan oleh Malaysia, Belanda, Australia dan Ukraine.

TAGS