Aspek pengurusan premis Maahad Tahfiz perlu ditingkat

Aspek pengurusan premis Maahad Tahfiz perlu ditingkat

Tragedi kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato’ Keramat wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak khususnya dalam aspek pengurusan premis yang menempatkan pelajar juga persediaan dan peraturan pencegahan kebakaran, kata Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Menyifatkan kejadian yang berlaku sebagai menyayat hati, beliau berkata kehilangan nyawa anak-anak dan kakitangan sekolah tersebut amat menghibakan.

Takdir ini, kata beliau terpaksa dilalui setiap pihak yang berkitan dengan tabah dan sabar, khususnya kaum keluarga mangsa.

“Sambil usaha menyelamat dan penyiasatan punca tragedi ini terus dijalankan oleh pihak berwajib, warga Parti Amanah Wilayah Persekutuan dan Kawasan Titiwangsa turut berasa dukacita atas musibah ini.

“Kami mendoakan agar mangsa yang terkorban diampun oleh Allah SWT dan diganjari amalan mereka selama ini. Pihak kami akan cuba membantu mangsa dan keluarga seupaya mungkin,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang menyaksikan peristiwa ini supaya bersama-sama berdoa agar perkara sama tidak berulang lagi di mana-mana.

“Pengajarannya menuntut kita lebih berhati-hati dalam menguruskan mana-mana premis khususnya yang menempatkan ramai pelajar. Persediaan dan peraturan pencegahan harus menjadi keutamaan. Selebihnya kita berserah kepada Allah SWT memohon perlindungan-Nya,” ujar beliau.

Dalam kejadian seawal jam 5.00 pagi tadi, Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, dalam kejadian itu enam pelajar dan seorang awam turut cedera.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.41 pagi.

Video awam menunjukkan tingkat paling atas di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu masih terbakar ketika azan subuh berkumandang.

Bomba berkata, 20 mangsa dilaporkan cedera manakala tiga kritikal. Mereka kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Polis menutup laluan di Jalan Keramat Hujung, yang menghubungkan Jalan Pasar Keramat ke Bukit Pawang, susulan kejadian berkenaan.

CATEGORIES
TAGS