Trajedi kepimpinan Malaysia hari ini

Trajedi kepimpinan Malaysia hari ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengambilan rakyat Syria dikalangan pekerja komersil tidak membayangkan Malaysia tinggi nilai kemanusiaannya.Kekusutan derita perang Syria makin belarutan tanpa nampak penghujungnya. Derita rakyatnya makin bertambah dari pengeboman dua kuasa besar dunia Amerika dan Russia.

Diantara beratus ribu mangsa utama adalah kanak-kanak, orang tua dan remaja. Dalam masa itu Menteri Kanan Malaysia menyatakan diantara 3,000 pelarian Syria yang akan dipertimbangkan untuk diterima adalah dari kalangan doktor,jurutera dan kalangan cerdik pandai untuk membantu membangun Malaysia!

Adakah prioritinya membangunkan Malaysia yang perlu dibantu oleh rakyat Syria? Atau rakyat Syria yang sedang dibunuh beramai ramai yang perlu diselamatkan nyawa mereka terdahulu oleh Malaysia ?

Dimanakah semangat peri kemanusiaan kita di saat saudara sesama Islam ditimpa bencana sebegitu rupa? Negara bukan Islam Jerman, Perancis dan Itali menerima beratus ribu pelarian perang dari Syria, Iraq dan Palestin sementara Malaysia sedang berkira kira benar untuk menghulur talian hayat kepada mangsa kezaliman perang ganas yang berpanjangan.

Dulu Malaysia mengkritik hebat Amerika dan Australia yang memilih pelarian Vietnam dari kalangan golongan profesional seperti doktor, akauntan dan jurutera sahaja. Tetapi Malaysia yg pernah menjadi pengerusi OIC dan megah sebagai kononnya model Negara Islam yang maju menunjukkan contoh yang memalukan.

Adakah kriteria pengambilan diatas pertimbangan peri kemanusiaan atau pemilihan perkerja komersial untuk bantu membangun Malaysia?

Pengumuman pengambilan 1.5 juta perkerja dari Bangladesh tidak meletakkan apa apa kriteria pun atas latarbelakang kemasukan mereka. Apa yang nyata adalah kroni yang bertuah yang bolih mengutip RM3,000 seorang untuk keuntungan besar komersial yang lumayan.

Pelarian Syria yang akan dipilih walau pun lebih berkualiti latarbelakang mereka, tidak akan bolih mendatangkan pulangan kapitalis lumayan dari aktiviti “perdagangan manusia” kepada kroni tertentu.

Dimana letaknya semangat persaudaraan Islam dan peri kemanusiaan apabila faktor keuntungan kewangan mengamit kroni sang Menteri menteri berkenaan?

Turki yang mempunyai 60 juta penduduk telah menerima 2.5 juta pelarian Syria dan memberi permit kerja kepada mereka. Kita yg mempunyai hanya 30 juta penduduk dan menerima berjuta juta perkerja asing bermutu rendah termasuk perkerja pendatang tampa izin, hanya sedang menimbang untuk menerima 3,000 pelarian Syria latar belakang profesional!

Chancelor Jerman Angela Merkel serta rakannya dari Perancis menerima kecaman hebat dari rakyat sendiri kerana kemasukan berjuta orang Islam. Negara Jerman mempunyai 4 juta orang Islam dan Perancis hampir sama ramainya.

Pemimpin mereka menghadapi risiko politik daripada rakyat sendiri. Di Malaysia, rakyat Islam terutamanya akan mengalu-alukan kedatangan pelarian Syria. Mengapa kerajaan Malaysia tidak menyambut mereka? Kerana tiada keuntungan komersial bagi kroni kroni agaknya? Kerana itu juga pelarian bot Muslim Rohingya ditolak ditengah lautan.

Apa yang mengejutkan pula Malaysia menghantar angkatan tentera bersama 20 negara lain untuk berlatih dengan Tentera Arab Saudi untuk operasi ketenteraan darat di Syria. Kita sedia tahu kemelut Syria menjadi lebih parah apabila dua kuasa besar Amerika dan Russia mula membekalkan senjata kepada perbagai pihak supaya peperangan merebak dan mereka sendiri mengebom kawasan awam orang Islam.

Soalan utama di sini, di Timur Tengah apa telah terjadi kepada polisi Malaysia sebagai Negara berkecuali – ‘non alligned nation’ sejak zaman Tun Razak? Situasi di timur tengah jelas menjadi medan peperangan proksi antara Amerika dan Russia.

Dirantau Asia Pasifik pula mengapa Malaysia mengambil sikap berpihak begitu rapat dengan Amerika. Penglibatan dalam TPPA adalah satu contoh kearah ini dimana TPPA adalah untuk membentuk blok ekonomi Amerika menyekat kemaraan ekonomi Cina. Adakah ini langkah bijak ?

Dikalangan Negara Islam pula Malaysia telah lama hilang status sebagai peneraju Negara OIC yang pernah di pegang zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Status sebagai model Negara Islam yang maju dan progresif era Tun Mahathir Mohamed juga hilang dan kini diterajui oleh Turki.

Apa lagi yang tinggal pada Malaysia selain dari reputasi diantara Negara rasuah terburuk setanding dengan taraf Negara dunia ketiga dari Afrika dan kini merosot 4 tempat lagi dari pada rangking tahun lepas.

Apa yang jelas adalah Malaysia telah lama hilang arah tuju baik di peringkat antarabangsa dan juga didalam Negara. Pemimpin Negara telah menunjukan sikap yang amat lemah dan hilang segala wibawa. Yang paling anihnya Negara dan masyarakat luar lebih menyedari dan hairan hal ini boleh berlaku kepada kita sementara kebanyakan rakyat Malaysia sendiri masih selesa dan tidak mengambil pusing kehancuran nilai dan Negara kita yang pernah di kagumi dunia luar.

Mungkin hanya apabila rakyat berasal dari Bangladesh, Nepal, Indonesia dan Sulu menjadi majoriti di Malaysia barulah perubahan pemerintah akan berlaku. Mungkin mereka lebih mahu menghargai apa yang kita pernah miliki berbanding kita yang senantiasa dibuai oleh subsidi, BR1M dan laungan hidup Melayu yang kosong.

Adakalanya orang luar dapat melihat serta lebih menghargai apa yang kita pernah miliki daripada kita sendiri. Trajedinya, mungkin pada masa itu sudah terlambat untuk anak dan cucu kita.

*Raja  Kamarul Bahrin Shah  adalah  Pengerusi Biro Antarabangsa,Amanah.

TAGS