Transformasi bersiri bermula dari kita

Transformasi bersiri bermula dari kita

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kita rakyat Malaysia sedang melalui hari dan saat saat kritikal dalam beberapa hari ini. Tidak pernah sejak merdeka negara kita menjadi tunggang terbalik sebegini walaupun dulu maklumat terhad dan kita buta maklumat.

Kini langit siber luas terbuka tetapi mereka yg bermaharajalela berkuasa cuba mengunci maklumat dari langit terbuka seolah pepatah Melayu, ‘ingin menongkat langit yang hendak runtuh’.

Internet mula di tutup dan diganggu.

Ada yang berkata tukar Perdana Menteri dan ada yang berkata reformasi sekali lagi!

Apa yg Malaysia perlukan adalah ‘transformasi bersiri’ melibatkan perubahan seluruh sistem negara yang amat korup-rasuah. Perdana Menteri seorang diri tidak boleh menguasai semuanya tanpa juak-juak menteri-menteri lain, pihak berkuasa peguam negara, pihak berkuasa keselamatan serta pentadbiran yang begitu korup.

Kalau empayar Rom tidak dibina dalam satu hari, Malaysia juga tidak mungkin punah sebab seorang Perdana Menteri tanpa proses berterusan kehancuran nilai moral dalaman yang amat kronik oleh penyokongnya. Oleh itu menukar perdana Menteri sahaja tidak menyelesaikan masalah. Akar umbi dan pucuk pokok mesti di gantikan secara keseluruhan secara transformasi bersiri.

Kesemua rakyat mesti melibatkan diri dalam transformasi ini. Yang muda yang di pertengahan umur dan juga yang tua. Tiada yang selamat dari kerakusan pimpinan negara hari ini.

Mahasiswa muda ditangkap, dipenjara, bajet pendidikan negara dipotong 18%, Universiti Malaya dipotong 28% dan bantuan murid miskin dipotong dari RM200 juta sehingga tinggal hanya RM10 juta.

Baru-baru ini biasiswa murid cemerlang dibatalkan menjadi pinjaman sedangkan negara lain memberi pendidikan percuma. Bagi warga tua yang mengharapkan wang pencen untuk sedikit keselesaan di hujung penghidupan mereka, wang KWAP (Kumpulan Wang Amanah Pencen) disambar RM4 bilion oleh SRC International Sdn. Bhd., syarikat berkait dengan IMDB. Pelaburannya sehingga hari ini tidak tahu ke mana.

Tabung Haji pula dipaksa melalui kroni yang dilantik membeli tanah dari 1MDB dengan harga RM2,770 sekaki persegi walaupun harga asal tanah yang sama dibeli 1MDB daripada kerajaan hanya berharga RM60 sekaki persegi!

Pendedahan terakhir termasuk pelaburan Tabung Haji yg rugi berpuluh juta dalam syarikat pembuat roti dan pelaburan rugi RM1.4 bilion dengan anak syarikat Tabung Haji, Heavy Engineering.

Mahasiswa muda disekat kemajuan hidup mereka dan yang tua dirampas simpanan hari tua mereka. Di mana peri kemanusiaan kerajaan rakus ini?

Kalau yang di peringkat pertengahan umur menganggap mereka sudah selesa dengan kerajaan hari ini, saya mohon fikir panjang-panjang masa depan anak-anak mereka yang telah terjejas peluang pendidikan mereka.

Jangan khianati masa depan mereka hanya kerana kita boleh memiliki BMW dan Mercedes. Anak-anak adalah amanah Allah SWT untuk kita memberi sebaik-baik peluang pendidikan dunia dan akhirat kepada mereka. Ingat juga ada mahasiswa yang sanggup berlapar kerana menghantar wang pengajian mereka kepada orang tua di kampung yang terhimpit dengan kenaikan kos hidup.

Bagi warga pencen pula segala usaha giat peluh mereka dalam KWAP yang diambil oleh SRC International tidak tahu ke mana hari ini. Dari muda diambil dan dari tua dirompak!

Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya dipecat sebagai timbalan presiden Umno kerana tidak menjalankan tugasnya membantu presiden. Membantu untuk apa? Untuk bersubahat, menyeleweng dan memusnahkan negara? Menteri-menteri kroni pak sangguplah yang sepatutnya dipecat kerana membantu dalam kemungkaran ini.

Langit siber-internet dah mula diganggu secara meluas dan ditutup. Peluang kami untuk berceramah di bandar kecil Kuala Terengganu pun sudah banyak diganggu dengan perampasan bendera dan cubaan membatal program kami.

Suara Raja-raja Melayu dalam isu 1MDB dan bidang kuasa perdana menteri dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak diendahkan kerajaan. Suara bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno telah didiamkan. Tidak lama lagi kita hanya boleh mendengar siaran RTM1, RTM2 dan TV3 menyebar propaganda.

Transformasi bersiri dari atas hingga ke bawah mesti dimulakan. Kalau tidak kita hanya akan dapat menikmati sisa-sisa kulit buah labu negara kita sahaja kerana isinya telah habis dikerjakan oleh perompak bersiri.

Transformasi bersiri bermula dari kita semua dan ianya bermula dari sekarang.

* Raja Kamarul Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Pengerusi Amanah Negeri Terengganu.

TAGS