Trump tiada kuasa mutlak jejas hubungan Malaysia-AS, kata ahli akademik

Trump tiada kuasa mutlak jejas hubungan Malaysia-AS, kata ahli akademik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kongres Amerika Syarikat, yang merupakan institusi kukuh dwidewan dalam kerajaan persekutuan negara berkenaan, akan memastikan hubungan antara kuasa besar itu dan rakannya dari negara asing termasuk Malaysia, tetap terkawal, kata ahli akademik tempatan.

Presiden Persatuan Malaysia Untuk Pengajian Amerika Prof Dr K S Nathan berkata Kongres boleh meminda keputusan yang dibuat Presiden.

“Bagi saya, institusi Amerika Syarikat lebih berkuasa daripada individu. Berdasarkan pandangan ini, boleh dikatakan bahawa hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat akan terus berada di landasan yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan dalam perbicangan analisis bertajuk ‘Donald Trump: Divided America and Threatened World’, semalam.

Beliau mengulas sama ada kemenangan Trump bagi jawatan presiden akan menjejaskan hubungan antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

Turut membentangkan kertas kerja dalam perbincangan anjuran Majlis Profesor Negara itu ialah pensyarah Sejarah dan Ketamadunan Universiti Islam Antarbangsa (IIUM) Prof Dr Abdullahil Ahsan dan pensyarah Sains Politik IIUM, Prof Madya Dr Ishtiaq Hossain.

Ditanya sama ada kemenangan Trump bagi jawatan presiden boleh menjadi ancaman kepada dunia, Nathan menegaskan bahawa Trump hanya dipilih sebagai presiden bagi Amerika Syarikat, bukan bagi dunia, dan terdapat pemimpin kuasa besar dunia yang lain untuk menegur dan mengimbang.

Sementara itu, pensyarah kanan pengajian politik dan antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib, ketika dihubungi Bernama berkata kuasa mutlak yang sesetengah pihak menyangkakan dimiliki Presiden Amerika Syarikat sebenarnya tidak wujud.

“Anggota Kongres mempunyai bidang kuasa untuk mengehadkan kuasa presiden, ada perkara tertentu yang memerlukan kelulusan daripada Kongres,” katanya.

Ditanya sama ada dasar luar Amerika Syarikat ke arah negara Islam akan berubah di bawah Trump, Dr Abdullahil berkata beliau percaya Trump akan bertindak dengan berhati-hati.

“Dalam perdagangan antarabangsa, laluan utama menghala ke arah dunia Islam dan itulah sebabnya dunia Islam tidak boleh dielakkan, dan Trump tidak boleh mengelakkan kepentingan umat Islam,” katanya.

Trump, calon Republican, mengalahkan calon Democrat Hillary Clinton, dalam saingan sengit untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-45, dengan melakukan kejutan besar selepas mengharungi apa yang digambarkan sesetengah pihak sebagai kempen yang pahit dan ada kalanya buruk

TAGS