Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat kepincangan 1MDB

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat kepincangan 1MDB

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini meluluskan usul menyiasat kepincangan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibawa perwakilan Pemuda Nasional.

Usul yang dibacakan Timbalan Ketua Pemuda, Faiz Fadzil itu mendapat sokongan penuh 1,204 perwakilan yang memenuhi dewan Shah Alam Convention Centre (SACC).

Menurutnya, isu 1MDB melibatkan kepincangan kepimpinan negara apabila Perdana Menteri menukar Gabenor Bank Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara.

“1MDB ini menyebabkan sistem demokrasi di negara ini semakin terhakis. Parlimen yang sepatutnya menjadi institusi wakil rakyat mengutarakan isu-isu kepentingan negara tetapi ahli parlimen kritik dikenakan tindakan.

“Mereka dipanggil dan disiasat di bawah Akta Hasutan. Kalau di Parlimen pun tidak boleh bicara isu rakyat, di mana lagi? Di jalan raya (bersuara) kena tangkap,” ujarnya.

Sehubungan itu, Faiz mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat secara menyeluruh isu kepincangan 1MDB.

“Pemuda Amanah tidak mahu negara diperintah secara kleptokrasi dan kuku besi. Kita mahu negara diperintah secara demokrasi.

“Oleh sebab itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal terbesar di dunia ini,” tegasnya.

Usul beliau kemudiannya disokong perwakilan Rantau Panjang, Rushdan Mustafa.

 

TAGS